
‘Tepi!’ jerit seorang daripadanya selepas selamba melanggar peraturan jalan raya dengan mengayuh di atas kaki lima hingga menyebabkan pejalan kaki bertempiaran mengelak dirempuh.
Bernd Lechner, 40, yang sering berdepan sikap dilihat kurang ajar pengguna basikal seperti itu mengakui hilang sabar dengan perlakuan golongan berkenaan yang semakin menjadi-jadi di ibu negara Jerman itu.
“Memang keadaan semakin teruk, saya lebih takutkan basikal daripada kereta,” katanya.
Berlin sudah lama mempunyai reputasi sebagai bandar mesra basikal, namun jumlah penggunanya meningkat kira-kira 25 peratus susulan pandemik virus korona.
Satu kesan positif adalah peningkatan dari segi kesihatan dan kualiti udara apabila pengguna pengangkutan awam berkurangan.
“Malangnya pada masa sama, polis mendaftarkan pertambahan mendadak dari segi kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengayuh basikal dan kebanyakannya membabitkan pejalan kaki,” kata ketua polis bandar itu, Barbara Slowik.
Dalam temu bual dengan akhbar Berliner Morgenpost pada Oktober, Slowik mencadangkan pengguna basikal wajib mendaftar dengan pihak berkuasa supaya lebih memudahkan tindakan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.
“Lebih 50 peratus kemalangan lalu lintas membabitkan pengayuh basikal sebenarnya berpunca daripada mereka sendiri,” katanya.
Bilangan itu termasuk 17 pengguna basikal yang maut dalam kemalangan di Berlin pada 2020 berbanding hanya lapan tahun sebelumnya.
Cadangan pendaftaran itu mencetuskan pelbagai reaksi termasuk ramai mempertikaikan sikap pengguna basikal di bandar itu.
Malangnya, cadangan itu berkemungkinan sukar dilaksanakan kerana akan melibatkan pelbagai isu birokrasi, kata Ragnhild Soerensen dari pertubuhan bukan kerajaan Changing Cities, yang memperjuangkan pengangkutan lestari.
Sementara itu Anika Meenken dari persatuan pengangkutan Verkehrsclub Deutschland (VCD) berkata, pengguna basikal merangkumi 18% lalu lintas namun hanya 3% lokasi di sekitar bandar disediakan untuk golongan itu.
Sebaliknya kereta yang merangkumi 33% lalu lintas memakan 58% ruangnya.
“Kekurangan ruang inilah yang mencetuskan sikap agresif, apabila keadaan terlalu sempit dan mengakibatkan ketegangan,” katanya.
Namun ketua pengangkutan polis Berlin, Oliver Woitzik berkata “tidak mungkin kita dapat menyediakan laluan basikal merata-rata dan di mana saja.”
“Sepatutnya dalam apa jua keadaan seseorang patut mengetepikan ego dan bijak bertolak ansur bila perlu, namun malangnya ini kurang dilihat dalam kalangan mereka yang menggunakan kenderaan, tidak kiralah empat atau dua roda,” ujarnya lagi.
Apapun, katanya, pengguna basikal yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan saman di masa depan, apabila Berlin menambah jumlah anggota polis berbasikal untuk memantau keadaan.
Jumlah itu yang kini dianggarkan 40 orang dijangka bertambah sehingga 100 orang menjelang musim bunga, malah akan terus meningkat lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]