Dewan Rakyat kecoh dengan dakwaan ‘kurang ajar’

Dewan Rakyat kecoh dengan dakwaan ‘kurang ajar’

Kekecohan berlaku apabila Awang Hashim dakwa larangan penjawat awam menyertai perhimpunan aman seolah-olah kritik keputusan ketua hakim negara.

Awang Hashim tidak berpuas hati selepas digelar sebagai ‘kurang ajar’ oleh Syahredzan Johan ketika membahaskan usul laporan Suhakam di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat sedikit kecoh apabila Awang Hashim (PN-Pendang) tidak berpuas hati selepas digelar sebagai ‘kurang ajar’ oleh Syahredzan Johan (PH-Bangi) ketika membangkitkan larangan penjawat awam menyertai perhimpunan aman.

Kekecohan bermula apabila Awang mendakwa larangan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara itu seolah-olah mengkritik keputusan ketua hakim negara.

Bagaimanapun, Syahredzan bangun dan berkata kenyataan Awang  mengelirukan Dewan Rakyat dan meminta beliau membetulkannya.

Syahredzan juga berkata, kenyataan Awang juga seolah-olah ‘kurang ajar’.

Awang yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Syahredzan membalas dia tidak boleh terima apabila dituduh ‘kurang ajar’.

“Saya tak boleh terima bila kata saya kurang ajar,” katanya semasa membahaskan usul laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)

Syahredzan kemudian menukar perkataan kurang ajar kepada ‘kurang diajar’.

Sebelum ini, media melaporkan seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 (P.U. (A) 1/2012).

Jabatan Peguam Negara memaklumkan, berdasarkan Surat Aku Janji itu, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.