
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar menyifatkan tindakan mereka sebagai “kurang ajar”.
“Budi pekerti macam itu kita kutuk, tak semestinya berkaitan dengan teksi ke apa,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Perjumpaan antara perdana menteri dan persatuan pemandu teksi di Langkawi, Kedah hari ini kecoh apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak keluar majlis kerana tidak setuju dengan pandangan Dr Mahathir berhubung perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Kira-kira 10 orang pemandu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar ketika perdana menteri berkata beliau akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu berbangkit.
Perdana menteri kecewa dengan sikap pemandu terbabit yang enggan mendengar penjelasannya dan sanggup meletak jawatan.
“Dr Mahathir telah memberi banyak sumbangan serta mengambil berat tentang Langkawi,” kata Kamarudin.
Timbalan menteri mengagak Dr Mahathir “terasa hati” dengan sikap pemandu terbabit, menyebabkan dia berkata sanggup meletak jawatan.
“Itu komen peribadi agaknya sebab berlaku di Langkawi,” katanya.
Kamarudin dalam masa sama berkata kerajaan tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan.
“Tak ada, dasar kementerian ialah pengangkutan teksi, Grab sama. Lesen, insurans, keperluan kereta sama,” katanya.