
Berlandaskan harapan untuk menangani peningkatan jumlah sisa dan untuk menyediakan cara hidup yang lebih mampan buat semua, Barterrup dilancarkan sebagai satu inisiatif sosial yang memberi peluang kepada orang ramai untuk meningkatkan penggunaan secara bersama dan mewujudkan komuniti perkongsian.
Barterrup dilancarkan secara rasmi pada 31 Ogos dan dalam masa hampir dua bulan ia telah berjaya mewujudkan sekitar 36 komuniti pengguna dengan kira-kira 55 penyenaraian di laman web mereka buat masa ini.
FMT berkesempatan bertemu dengan pengasas pasukan Barterrup, Muhammad Arif, mengenai objektif di sebalik penubuhan inisiatif sosial itu.
Jelas Muhammad Arif, dia dan pengasas bersama Barterrup, Saif Rizvi, mendapat idea untuk mewujudkan sistem pertukaran semasa wabak selepas menyedari keperluan untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih mampan dan lestari.
“Kami mahu menyebarkan kebaikan dan mencipta cara yang mampan untuk melupuskan sumber dan produk yang seterusnya akan mengurangkan jumlah sisa di tapak pelupusan sampah dan membantu perubahan iklim,” ujarnya.

Mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Barterrup adalah sangat mudah.
“Pengguna hanya perlu pergi ke laman web dan mendaftar menggunakan akaun Google, nombor telefon atau Facebook mereka dan dengan serta-merta boleh mula menyiarkan senarai dan bertukar-tukar produk dengan pengguna lain,” jelas Muhammad Arif lagi.
Barterrup kini menawarkan empat perkhidmatan sistem barter kepada pengguna mereka.
“Perkhidmatan pertama yang kami tawarkan ialah pilihan ‘Barter’ di mana pengguna boleh menukar barangan atau perkhidmatan dengan orang lain dalam komuniti Barterrup,” katanya kepada FMT, sambil menambah pengguna boleh mencari penyenaraian berdasarkan lokasi dan juga mengikut kategori.
Dengan penyenaraian mereka itu, pengguna juga boleh memasukkan gambar produk yang mereka cari untuk ditukarkan.
“Pengguna boleh menyenaraikan produk yang mereka cari untuk ditukar dan mencatatkan apa yang mereka harapkan sebagai balasan sama ada perkhidmatan, produk atau makanan,” katanya sambil menambah dia pernah menyenaraikan latihan peribadi di Barterrup dan dapat melatih seseorang dengan pelajaran tenis sebagai balasan.
“Sebaik sahaja pertukaran telah diatur, pengguna boleh bertemu atau menghantar produk mereka bergantung kepada pilihan mereka.
“Ia juga membolehkan orang ramai berhubung dengan masyarakat di luar sana dan bertemu rakan baharu,” ujarnya lagi.

Selain itu, Barterrup juga menawarkan pilihan ‘Giveaway’, di mana pengguna boleh mendermakan barangan mereka kepada NGO yang disenaraikan di Barterrup berdasarkan keperluan NGO tersebut.
“Memandangkan kami agak baru, buat masa ini kami hanya ada satu NGO yang disenaraikan di laman web kami tetapi tidak lama lagi lebih ramai akan dibawa masuk dan kami berharap dapat memberi barangan yang mereka perlukan,” kongsi Muhammad Arif.
Antara perkhidmatan ditawarkan Barterrup yang menjadikannya unik ialah pilihan untuk pengguna memuat naik hantaran tentang produk yang mereka cari atau perlukan.
Pilihan ini terdapat di bawah kategori ‘I-need’ Barterrup di mana pengguna boleh meminta komuniti barangan yang mereka perlukan.
“Sejak negara dilanda pandemik hampir dua tahun lalu, ramai terjejas teruk, di mana pilihan ini membolehkan mereka menyenaraikan perkara yang mereka perlukan dan diharap dapat menghubungkan mereka dengan pengguna yang mampu menyediakannya,” jelasnya.
Malah pilihan ‘I-need’ tidak terhenti di situ saja, menurut Muhammad, “Pilihan ini juga boleh digunakan untuk pengguna yang mencari perkara lebih khusus, contohnya buku atau telefon terpakai. Apa yang mereka perlu lakukan ialah memuat naik perkongsian untuk tatapan orang lain.”

Pilihan keempat yang disediakan oleh Barterrup ialah pilihan untuk syarikat pemula lain berhubung antara satu sama lain dan bertukar sumber mereka.
“Pengasas syarikat pemula sentiasa menekankan sumber melalui perkhidmatan pertukaran barangan ini, syarikat pemula dapat bertukar sumber mereka sekali gus melengkapkan jurang sumber antara satu sama lain,” kata Muhammad Arif.
Dia turut menekankan kepentingan mewujudkan komuniti perkongsian bagi membolehkan orang ramai memberi barangan atau mencari barangan yang mereka perlukan kerana ia akan mengurangkan kepenggunaan dalam jangka masa panjang.
Walaupun baru dua bulan sejak Barterrup dilancarkan, Muhammad Arif berharap mereka akan terus berkembang dan mewujudkan kehidupan yang lebih mampan untuk semua.
“Saya berharap, seramai mungkin penduduk akan menyertai komuniti perkongsian ini,” tambahnya Barterrup akan terus menambah baik laman web mereka untuk memastikan pengguna dapat memanfaatkannya.
Berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti barter, sila semak Barterrup di laman Web dan Facebook mereka untuk memulakan perjalanan sistem barter anda.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]