
“Tetapi setelah datang ke sini mereka menyedari agak sukar untuk mengakses pekerjaan yang bersesuaian atau menghantar anak-anak ke sekolah kerana kos sara hidup yang terlalu tinggi.”
Inilah realiti dihadapi pelarian dari Afganistan dan Myanmar yang sedang ditangani oleh Julie Das, 49 di ‘Greater Action, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang Das juga merupakan pengasas bersama Dr Shazwan Sahabudeen, seorang pengamal perubatan yang bertauliah.
Dengan lebih daripada 180,000 pelarian yang mencari hak perlindungan atau suaka di Malaysia, kebanyakannya bekerja lebih masa di kilang-kilang besar dengan gaji minimum semata-mata untuk mencari rezeki.
Namun kini tampak cahaya apabila Greater Action cuba memecah tradisi itu melalui perniagaan lestari yang sekali gus memperkasa pelarian ini.

Bersama-sama dengan pasukan sukarelawannya, badan bukan kerajaan (NGO) itu memantau lebih 250 keluarga pelarian di Malaysia, menyediakan keperluan asas untuk ibu-ibu, pendidikan dan bantuan perubatan.
Selain inisiatif ini, Greater Action turut memperkasa para pelarian secara langsung, melengkapkan mereka dengan kemahiran sehingga mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri.
“Adalah sangat penting untuk kita mewujudkan sesuatu yang lebih lestari, jadi kita tidak hanya memberi mereka makanan,” jelas Das kepada FMT sambil menambah bahawa sistem itu bukan hanya membantu mereka yang memerlukan tetapi turut memberi kembali kepada komuniti.
“Menerusi sistem ini, ia akan membantu mereka yang memerlukan sekali gus memberi kembali kepada masyarakat agar sistem ini dapat diteruskan untuk jangka masa panjang.”

Projek lestari Greater Action memperkasa 10 keluarga Afghanistan melalui perkhidmatan memasak, membuat roti dan menjahit agar mereka dapat berdikari.
Setiap produk dibungkus dengan penuh kasih sayang oleh wanita Afghanistan yang bekerja tanpa mengenal lelah untuk menyara keluarga.

Antara contoh terbaik usaha ini adalah kisah seorang chef yang masih bujang, melarikan diri dari Afghanistan bersama ibu bapanya dan kini memanfaatkan pendapatan ini untuk menyara ayahnya yang terlantar akibat lumpuh.
“Kedua-dua ibu bapanya sudah tua dan ibunya meninggal dunia di Malaysia akibat pengabaian dan kekurangan dana untuk membawanya berjumpa doktor,” jelas Das.
“Sekarang ayahnya terlantar akibat lumpuh dan semua wang yang diperolehi hasil dari memasak adalah untuk membayar bil perubatan bulanan ayahnya.”

Das turut bercerita mengenai pasangan pelarian yang belajar menjahit sebelum datang ke Malaysia.
Sebelum pasangan ini menjadi pelarian di Malaysia, suaminya adalah seorang jurutera I.T manakala isterinya bekerja sebagai guru matematik dan fizik.
Namun, setelah meninggalkan negara dan mencari perlindungan di Malaysia – kepayahan hidup sebenar mula menghimpit.
“Ketika saya bertemu dengan isterinya, dia sangat tertekan,” kata Das, terkenang akan kepayahan yang mereka lalui.
“Dia memberitahu saya dia mahu bekerja tetapi tidak mahir berbahasa Inggeris.”

“Kami mendapatkan sebuah mesin jahit untuknya agar dia boleh menjahit dan tidak terlalu memikirkan mengenai masalah pekerjaan,” kata Das, yang diberitahu menjahit adalah hobi wanita itu.
“Kini, dia adalah ketua tukang jahit saya dan suaminya yang merupakan seorang jurutera lebih mahir berbanding dia,” kata Das, sambil tertawa mengenang gelagat pasangan itu yang sering mengusik mengenai skil jahitan masing-masing.
Pasukan tukang jahit Greater Action mampu menjahit apa sahaja yang diinginkan dari beg cantik kepada selimut lembut, sarung bantal berwarna-warni dan juga gaun pengantin.
“Kami juga pernah bekerjasama dengan sebuah hospital untuk membuat pelitup muka PPE yang sangat bagus,” kata Das sambil menjelaskan mereka sentiasa menantikan lebih banyak ‘pesanan besar’.
“Kami juga menyediakan hamper untuk sebuah syarikat yang saya akui memang banyak kerja, tetapi sebenarnya amat bagus bila sebuah syarikat ingin memesan hamper yang cukup istimewa,” katanya tersenyum sambil mengakui ia lebih bermakna berbanding barangan yang dilabel ‘Made in China’.

Ketika berita tentang pemerintahan kejam Taliban menggemparkan dunia, Das menjelaskan ramai daripada keluarga ini menemuinya akibat terlalu gelisah.
“Ramai di antara mereka tidak mendapat khabar berita dari orang tersayang, baik ibu bapa, datuk dan nenek mahupun rakan,” kata Das dengan hati yang berat.
“Ketika mereka melarikan diri, tidak semua berjaya melepaskan diri dan ada di antara mereka yang datang sendirian meninggalkan ibu bapa, jadi sebaik mendengar berita kampung mereka ditawan, ia cukup mengerikan,” katanya, sambil menambah ramai kehilangan anggota keluarga akibat pengeboman.
Kini, sambil mencari perlindungan di Malaysia, Greater Action sedang membantu mereka untuk mendapat tujuan dalam hidup dan mencari pendapatan untuk diri mereka dan orang yang mereka sayangi.
Sekiranya anda ingin menyokong pelarian melalui sumbangan, hidangan Afghanistan yang lazat atau perkhidmatan tukang jahit pakar mereka, hubungi Das di 016-927 2705 atau lawati laman web dan Facebook Greater Action.
Sekiranya anda ingin menyokong pelarian melalui sumbangan, hidangan Afghanistan yang lazat atau perkhidmatan tukang jahit pakar mereka, hubungi Julie Das di [email protected] atau lawati Instagram atau LinkedIn Greater Action.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]