Negaraku: simbol kemerdekaan & kesetiaan rakyat Malaysia

Negaraku: simbol kemerdekaan & kesetiaan rakyat Malaysia

Berasal dari lagu negeri Perak pada tahun 1950-an, Negaraku telah bertahan mendepani ujian masa walaupun terdapat dua percubaan untuk mengubahnya.

Malaysia menyambut ulang tahun ke-64 pada 31 Ogos 2021. (Gambar WikiCommons)
PETALING JAYA:
Ketibaan Ogos menandakan permulaan bulan Kemerdekaan, satu masa yang membangkitkan semangat patriotik dalam diri kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Simbol sentimentaliti nasional dan lambang kemerdekaan negara kita, apa lagi cara yang lebih baik untuk merayakan ulang tahun ke-64 Malaysia selain menyingkap kembali sejarah lagu kebangsaan kita, Negaraku?

Menurut laporan yang diterbitkan pada 2003 oleh Perpustakaan Negara, Tunku Abdul Rahman diamanahkan untuk mengetuai pasukan petugas bagi mencari lagu kebangsaan pada 1956.

Beliau merupakan Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri ketika itu dan tugas tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK).

Satu pertandingan global telah dilancarkan pada pertengahan 1950-an yang menyaksikan penyertaan 514 peserta, namun semuanya ditolak oleh jawatankuasa tersebut.

Berikutan itu, JKPLK memutuskan untuk mengundang beberapa penggubah ternama, di antaranya pemuzik dari AS dan England, untuk menghantar gubahan lagu yang dirasakan layak menjadi lagu kebangsaan pertama Malaysia.

Sekali lagi, gubahan-gubahan itu juga dianggap tidak sesuai.

Tindakan berikutnya adalah untuk jawatankuasa melihat lagu-lagu kebangsaan yang ada di Malaysia pada ketika itu.

Daripada 11 negeri, lagu negeri Perak dirasakan paling sesuai, dan pada 5 Ogos ia dipilih sebagai melodi yang akan dijadikan landasan kepada lagu kebangsaan pertama negara.

Ramai percaya bahawa Sultan Idris Shah dari Perak mencetuskan idea lagu kebangsaan Perak berdasarkan lagu Terang Bulan, sebuah lagu yang popular pada awal abad ke-19. (Gambar WikiCommons)

Tetapi dari manakah sebenarnya asal lagu negeri, bertajuk Allah Lanjutkan Usia Sultan?

Komposer Saidah Rastam, pengarang ‘Rosalie and Other Love Songs’ telah menyelidik topik ini lebih mendalam dan mengesahkan bahawa akar melodinya adalah dari sentuhan komposer Perancis Pierre-Jean de Béranger.

Lagu ‘La Rosalie’ yang cukup popular di Seychelles pada akhir abad ke-19 dan sering dipersembahkan oleh kumpulan pemuzik Perancis di Mahé, iaitu kepulauan Seychelles di mana bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah Muhammad Shah II menetap ketika menjalani hukuman dibuang negeri.

Pada 1883, gubahan tersebut turut menarik perhatian anak kedua Sultan Perak sewaktu menziarah ayahandanya, yang membawanya kembali ke Malaysia.

Tetapi ahli sejarah Mubin Sheppard menegaskan bahawa lagu itu diabadikan sebagai lagu kebangsaan negeri Perak pada 1888 apabila anak sulung Sultan Abdullah dijemput ke London oleh Ratu Victoria.

Sudah menjadi amalan pada waktu itu untuk memainkan lagu negara atau kebangsaan setiap kali pemerintah sesebuah negara berkunjung ke England.

Opera tradisional Melayu atau teater yang dikenali sebagai bangsawan yang sering merangkumi persembahan muzik dan tarian. (Gambar WikiCommons)

Ketika ditanya oleh pegawai Inggeris mengenai lagu negeri, untuk mengelak rasa malu memandangkan Perak tidak mempunyai lagu negeri, anakanda sulung Sultan Abdullah memberikan lagu Terang Bulan, yang cukup terkenal dalam kalangan rakyat Perak pada masa itu.

Shazlan Hamzah, pengarang lagu ‘Negaraku: Lagu kebangsaan penyatuan Malaysia’, menjelaskan bahawa lagu tersebut dipopularkan di rantau Asia Tenggara oleh bangsawan Melayu, atau rombongan opera pada awal abad ke-20.

Lagu itu kemudiannya dikenali sebagai Terang Bulan, dan menjadi popular di seluruh negara dengan cepat.

Tanggal 5 Ogos 1957, melodi telah diputuskan, apa yang tinggal hanyalah untuk menulis liriknya.

Wujud perdebatan mengenai siapa yang layak menerima akreditasi ini.

Menurut laporan sejarah, lirik lagu Negaraku disediakan oleh urusetia khas diketuai Tunku Abdul Rahman, dengan kelulusan Sultan yang memerintah.

Komposer dan penulis lagu berdarah Malaysia-Indonesia Saiful Bahri. (Gambar Wikipedia)

Walaupun begitu, ramai percaya bahawa komposer dan penulis lagu berdarah Malaysia-Indonesia Saiful Bahri adalah orang yang bertanggungjawab ke atas lirik yang dihafal setiap rakyat Malaysia itu.

Namun, Saidah pula tidak pasti kredit tersebut boleh diterima dan samada teori itu benar-benar wujud.

Seperti yang kita ketahui, lirik dan melodi lagu Negaraku tidak berubah sejak diperkenalkan pada tahun 1957.

Walaupun ada usaha dilakukan untuk mengubah semula lagu itu pada tahun 1992 dengan tempo yang lebih pantas dan rancak, dan sekali lagi pada tahun 2003.

Percubaan terakhir ini turut disertai dengan usaha untuk mengubah judul ‘Negaraku’ kepada ‘Malaysiaku’, walau bagaimanapun kedua-dua cadangan itu terhenti berikutan timbulnya bantahan orang ramai.

Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 2020. (Gambar fail)

Sebagai simbol kemerdekaan, kemampuan lagu kebangsaan mendepani ujian masa terhadap setiap usaha untuk mengubahnya adalah bukti cinta dan kesetiaan kita sebagai rakyat Malaysia terhadap negara.

Perasaan yang tumbuh sejak tahun 1957 itu tetap sama pada tahun 1992 diikuti 2003, tanpa sebarang tanda bahawa ia akan berubah dalam waktu terdekat ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.