Mengulit damai, mengasah kreativiti di Malim Nawar

Mengulit damai, mengasah kreativiti di Malim Nawar

Berpindah dari kesesakan Kuala Lumpur, menjalani kehidupan sederhana di pekan kecil Malim Nawar, membawa keluarga ini merealisasikan impian kembali ke alam semulajadi.

Charissa dan anak perempuannya bermain dengan mainan buatan sendiri yang dibuat khas untuk mereka. (Gambar Charissa Adeline)

Ramai yang mengimpikan hidup dalam suasana moden cahaya neon ibukota, namun tidak bagi Charissa Adeline dan suaminya Yoong.

Berpindah dari kesesakan di Kuala Lumpur dan menjalani kehidupan sederhana adalah impian yang sering mereka angankan.

“Kita boleh memilih untuk menyertai kesibukan tersebut, berjimat dan menikmati percutian yang didambakan atau menjalani kehidupan yang kita impikan setiap hari,” ujar Charissa, 33, kepada FMT.

Dia dan Yoong akhirnya berpindah ke Malim Nawar, sebuah pekan kecil di Kampar, Perak bersama dua anak mereka.

Tetapi ia tidak semudah hanya berkemas dan pergi, Charissa dan Yoong perlu membuat persediaan untuk menjalani kehidupan baru dan bertahan untuk hidup.

“Kami bermula dengan menanam sayur-sayuran di kebun dalam skala kecil. Kami juga mencuba pembuatan sabun kerana tidak mahu menggunakan produk komersial yang mengandungi bahan kimia,” katanya menjelaskan bahawa tujuan mereka adalah untuk hidup secara semula jadi.

Rumah kecil keluarga ini yang selesa di Malim Nawar. (Gambar Charissa Adeline)

Pasangan ini juga harus belajar untuk membina rumah mereka secara perlahan-lahan.

“Segalanya kami lakukan sendiri. Belajar, mencuba dan kesilapan, tetapi perlahan-lahan kemahiran dan pengetahuan itu berkembang.

“Dengan anggaran perbelanjaan yang kecil, kami putuskan untuk mencari kaedah membina rumah alternatif sambil mengintai konsep ‘earthbag building’ dan kontena,” ujarnya.

Dalam pada itu mencari lokasi yang sesuai diteruskan sehingga mereka menjumpai sebidang tanah di Taiping tetapi kemudian mendapati ia tidak sesuai apabila musim hujan.

“Kemudian kami menemui Malim Nawar dan terus jatuh cinta dengan tempat ini. Kami menggunakan segala ilmu yang dipelajari untuk mengerjakan tanah tersebut,” kata Charissa.

“Rumah kami terletak di kawasan perkampungan, penuh dengan semangat komuniti. Sebilangan jiran turut membantu pendawaian elektrik dan paip,” katanya lagi.

Perjalanan lima tahun ke destinasi terakhir mereka berbayar apabila keluarga itu berpindah ke rumah yang dibina sendiri pada Februari tahun lalu.

Melalui kedai dalam talian ‘Down to Earth’ mereka, Charissa menjual produk buatan tangan seperti sabun organik ini. (Gambar Charissa Adeline)

Sepanjang menjalani kehidupan di tempat baru, Charissa dan Yoong mengasah kemahiran kraftangan mereka sehingga mereka dapat melancarkan ‘Down to Earth’, sebuah kedai dalam talian yang menjual produk buatan sendiri seperti barang kemas macrame, mainan dan produk mandian.

Antara produk terlaris mereka adalah siri permainan Peg and Play.

“Sepanjang hidup, pelbagai perkara kreatif telah saya cuba dan Peg and Play adalah gabungan minat kreatif saya,” kata Charissa.

Dia bermula dengan membuat mainan boneka untuk anak-anaknya dan menyiarkan foto tersebut di Instagram lalu permintaan membanjiri dari mereka yang berminat untuk membeli permainan tersebut.

Sejak itu dia dan suaminya melabur membeli alat tambahan untuk memperluaskan pembuatan mainan itu serta berharap dapat melabur lebih jauh dalam keseluruhan perniagaan mereka.

Memupuk semangat Merdeka melalui Peg and Play. (Gambar Charissa Adeline)

Menurut Charissa, sewaktu memulakan kehidupan, dia dan Yoong berusia pertengahan 20-an dan tidak mempunyai kemahiran untuk membentuk kehidupan yang diinginkan.

Oleh itu, kini mereka memutuskan untuk mengajar anak-anak di rumah, mendorong mereka untuk meneroka dan mengejar perkara yang benar-benar mereka minati agar anak-anak kecil itu terus belajar.

Dia bersyukur kerana pelaksanaan sekatan perjalanan tidak memberi kesan yang besar terhadap aktiviti harian mereka, kerana mereka masih boleh bergerak bebas daripada terus berada di dalam rumah.

Walaupun dia tidak terlepas dari kesibukan kota besar, Charissa mengakui peluang untuk bertemu orang ramai dan jaringan internet agak terhad di Malim Nawar.

“Ia benar-benar damai tetapi di bandar kecil, agak sunyi,” katanya sambil menambah bahawa walaupun mereka harus mengorbankan kehidupan sosial, dia dan Yoong berharap dapat membina rangkaian maya bersama individu yang berfikiran seperti mereka.

Pasangan ini juga berminat untuk terlibat dengan masyarakat setempat.

“Sebilangan jiran sudah bekerja dengan kami secara sambilan, dan kami berhasrat untuk mengadakan bengkel dan memulakan sesuatu seperti ‘bengkel komuniti’ tidak lama lagi”, ujarnya.

Peg dan Play juga memenuhi pesanan khusus, seperti pasangan menarik ini. (Gambar Charissa Adeline).

Bagi mereka yang terfikir ingin menjalani gaya hidup serupa, Charissa berpesan agar mereka harus bersikap terbuka untuk mengambil risiko dan berkorban.

“Bersedia menghadapi perkara yang tidak diketahui. Tahu apa yang ingin dicapai dan lakukan perancangan, jangan takut jika tidak tahu bagaimana ia akan berjalan dengan tepat,” katanya.

Penting untuk miliki kepercayaan kepada diri sendiri, kehidupan dan alam semesta.

“Pada awalnya kami agak ragu adakah kami dapat lakukannya, maka kami katakan kepada diri untuk fokus kepada matlamat.

“Ini adalah proses yang lambat, memerlukan pengorbanan tetapi ia boleh dilakukan,” katanya.

Jika anda percaya kepada alam, tiada yang dapat menghalang impian anda. (Gambar Charissa Adeline).

Untuk membeli produk buatan tangan Charissa dan Yoong, lihat Down to Earth di Shopee. Ikuti juga pengembaraan Charissa dan keluarganya di Instagram.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.