Uncle Kentang hantar warga Indonesia pulang selepas dapat undian di Facebook

Uncle Kentang hantar warga Indonesia pulang selepas dapat undian di Facebook

Hampir 1 jam sebanyak 642 undian dari rakyat Malaysia membenarkan aktivis tersebut menggunakan wang dari dana untuk menghantar wanita Indonesia berkenaan untuk pulang ke kampung halamannya.

Uncle Kentang dan pasukannya menguruskan kepulangan wanita warga Indonesia yang menghidap kanser tahap 4 untuk pulang ke kampung halamannya. (Gambar unclekentang.com)

“Mak, tunggu ye. Kita hantar anakmu balik. Beliau dahagakan usapan terakhirmu mak,” ujar Uncle Kentang di laman sosial Facebook miliknya.

Impian terakhir seorang warga Indonesia yang menghidap kanser tahap 4, ingin bertemu ibunya dan menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman telah mendapat perhatian aktivitis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Berita tersebut dihantar Uncle Kentang di Facebook dan berita laman sosial miliknya baru-baru ini.

Menurutnya, kanser yang dihidapi oleh wanita berusia 37 tahun itu telah merebak dan dia ingin menghembuskan nafas terakhir di kampung halamannya.

Namun, tidak pula dinyatakan jenis kanser yang diderita oleh wanita yang mempunyai seorang anak berusia 8 tahun itu.

Wanita itu bekerja sebagai pekerja pembersihan manakala suaminya pula pekerja kontrak yang kini hilang punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi mengekang wabak Covid-19.

“Dia maklumkan ingin pulang menaiki bot dan perlu membayar kompaun RM500 serta perlu mengambil ujian Covid-19,” ujar Uncle Kentang.

Jelasnya lagi, pihak hospital juga telah mengeluarkan surat pengesahan bahawa wanita itu mengidap penyakit kanser tahap 4.

Prihatin dengan nasib malang yang menimpa warga Indonesia tersebut, Uncle Kentang kemudian membuat undian di facebook miliknya untuk melihat sokongan bantuan yang harus diberikan kepada wanita itu.

Hampir satu jam, sebanyak 642 undian dari rakyat Malaysia membenarkan Uncle Kentang menggunakan wang dari dana mereka untuk menghantar wanita Indonesia berkenaan pulang ke kampungnya.

“Saya akan memberikan wang tunai bagi urusan wanita berkenaan untuk pulang ke pangkuan ibunya di Indonesia,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Uncle Kentang turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada masyarakat Malaysia yang memberikan sepenuhnya sokongan untuk menghantar wanita tersebut pulang buat kali terakhir yang kosnya ditanggung oleh pihaknya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.