
Kavita Gill, 32, antara insan prihatin yang menggunakan minatnya dalam pembuatan kek dan roti untuk membantu mereka yang kelaparan. Dia memulakan “Baked by KG”, sebuah kedai di Instagram yang menjual roti, brownies dan makanan lain, di mana hasilnya akan disalurkan kepada kempen bendera putih.
Gadis yang menceburi bidang korporat ini mempunyai minat membakar kek, roti dan brownies pada masa lapang. “Saya suka melihat kebahagiaan di wajah ahli keluarga dan rakan-rakan setiap kali mereka dihidangkan dengan kek dan roti yang saya buat,” katanya kepada FMT.

“Walaupun berkali-kali diminta untuk menjual kek dan roti saya, itu adalah idea yang kononnya “dirancang apabila bersara nanti”, katanya bergurau.
Tetapi apabila mendengar tentang kempen bendera putih, dia tahu sesuatu perlu dilakukan untuk membantu.
“Itu keputusan mengikut gerak hati, yang dibuat dalam masa semalam,” kenang Kavita.
“Kakak saya berkongsi beberapa bendera putih yang telah dinaikkan dan jumlah mereka yang memerlukan bantuan makanan dan barangan keperluan. Saya bertanya kepada diri sendiri apa yang dapat saya bantu.”
Baked by KG dilancarkan pada 10 Julai lalu siap dengan kotak makanan istimewa khusus untuk pelancaran itu. Kotak tersebut mengandungi semua kek dan roti sentuhan Kavita, yang juga boleh dipesan secara individu.

Bagi mereka yang gemarkan haruman ‘enak’ pasti akan menyukai roti lemon lembap, yang disalut pula saduran yang diperbuat daripada jus lemon segar.
Brownies kenyal Kavita pula padat dengan coklat yang kaya dan dihiasi dengan cip coklat gelap premium. Dengan semua kebaikan itu, anda mungkin tidak sedar semuanya telah habis dengan sekali jalan sahaja.
Dan bagi mereka yang lebih mementingkan kesihatan, roti pisang Baked by KG dibuat tanpa mentega dan gula halus, sebaliknya menggunakan semua bahan semula jadi.

Semestinya, Kavita akan memastikan setiap ramuan dalam masakannya adalah berkualiti tinggi, dan berharap dapat memberikan lebih banyak pilihan yang sihat dalam masa terdekat untuk semua.
Harga di antara RM60 hingga RM70, dan minimum RM40 untuk setiap pesanan akan disumbangkan kepada organisasi yang menyokong kempen bendera putih.
Menyentuh proses pemilihan penerima bantuan, Kavita berkata adalah penting baginya untuk memahami misi setiap organisasi dan bagaimana ia beroperasi.

Buat masa ini, dia telah memilih kempen #NeverGoHungry dari Rotary Club of Mont Kiara, dan Yayasan Chow Kit, sebuah NGO untuk kanak-kanak dan remaja.
“Golongan ini sangat aktif dan responsif, dan 100% wang yang disumbangkan akan diberikan untuk bantuan makanan tanpa caj tersembunyi,” jelasnya.
Buat masa ini Baked by KG diuruskan secara solo oleh Kavita sambil menunaikan tanggungjawab kerjaya profesional hariannya.
“Tidak ada lagi hari cuti dan percutian,” katanya tertawa, sambil menambah walau kadangkala keletihan, sasaran untuk memastikan tidak ada lagi yang tidur dalam keadaan lapar, jadi pendorong.
Bagi menikmati hidangan pemanis mulut untuk tujuan amal atau berkolaborasi dengan inisiatif Kavita, singgahlah ke Instagram Baked by KG.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]