Wanita Mapuche dipilih teraju bentuk perlembagaan baharu Chile

Wanita Mapuche dipilih teraju bentuk perlembagaan baharu Chile

Dia dipilih oleh 96 daripada 155 lelaki dan wanita, termasuk 17 orang asli.

Elisa Loncon adalah seorang ahli politik bebas, profesor dan aktivis hak pendidikan dan linguistik Mapuche di Universiti Santiago.

Seorang wanita dari kaum asli Mapuche Chile dipilih untuk memimpin barisan perwakilan dalam menyusun semula perlembagaan baharu negara itu.

Elisa Loncon, 58, seorang ahli politik bebas, adalah profesor dan aktivis hak pendidikan dan linguistik Mapuche di Universiti Santiago.

Dia dipilih oleh 96 daripada 155 lelaki dan wanita, termasuk 17 orang asli, yang merupakan sebahagian daripada badan perlembagaan yang akan menyusun semula teks baharu menggantikan ‘magna carta’ yang dihasilkan semasa pemerintahan diktator Augusto Pinochet.

“Salam penghargaan saya buat rakyat Chile dari utara ke Patagonia, dari laut ke pergunungan, ke pulau-pulau, semua orang yang menyaksikan kami pada hari ini, ” katanya.

“Saya bersyukur di atas sokongan padu pelbagai gabungan berbeza yang meletakkan kepercayaan dan impian mereka di tangan negara Mapuche, yang memilih orang Mapuche, seorang wanita, untuk mengubah sejarah negara ini.”

Pemilihannya merupakan titik peralihan terbesar dalam sejarah negara itu yang menyaksikan upacara angkat sumpah perwakilan tertangguh berikutan tunjuk perasaan di luar dan di dalam lokasi terbabit, selain pertempuran dengan polis hingga memaksa acara tersebut ditunda.

Kekacauan timbul selepas perarakan yang dianjurkan oleh kumpulan bebas, sayap kiri dan orang asli yang mengetuai perwakilan badan perlembagaan, serta kumpulan kepentingan lain, bertembung dengan polis bersenjata yang sedang berkawal di luar bekas bangunan kongres Santiago.

Sebaik perwakilan mengarahkan pasukan petugas khas diundurkan, pegawai mahkamah pilihan raya yang mempengerusikan upacara itu bersetuju untuk menangguhkan acara itu hingga tengah hari.

Terdahulu, badan perlembagaan itu dipilih menerusi undi popular pada Mei lalu dan dikuasai calon bebas dan berhaluan kiri.

Tidak pernah diiktiraf sebagai kaum peribumi di dalam perlembagaan, mereka berharap teks terbaharu itu akan memberi hak budaya, politik dan sosial kepada negara mereka.

Suruhanjaya itu diberi tempoh setahun untuk menyetujui isi peraturan umum, membentuk jawatankuasa dan menyusun perlembagaan baharu itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.