Kempunan roti The Loaf? Buat sendiri dengan kit DIY

Kempunan roti The Loaf? Buat sendiri dengan kit DIY

Kit DIY ini amat mudah untuk diikuti oleh mereka yang ingin mempelajari cara menghasilkan sendiri roti The Loaf di rumah.

Anda kini boleh mencuba sendiri menghasilkan roti menerusi kit DIY diperkenalkan oleh The Loaf. (Gambar Cecilia Cletus)

Petaling Jaya: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, rakyat Malaysia menjadi semakin kreatif dan rajin menghabiskan masa di dapur dengan mencuba pelbagai resepi baru.

Jika anda masih ingat, kopi Dalgona dan Basque Burnt Cheesecake antara yang menjadi popular sepanjang PKP lalu selain ramai juga mempelajari cara membuat roti sendiri.

Mungkin ramai yang ingin mencuba idea ketiga itu tetapi bimbang roti tidak menjadi selain beranggapan prosesnya terlalu susah atau cerewet.

Anda tidak perlu bimbang kerana kedai roti terkenal di Malaysia sedia untuk membantu dengan memperkenalkan kit membuat roti DIY Sweet Roll Dough.

Teringin merasai roti segar daripada The Loaf? (Gambar Cecilia Cletus)

Kit DIY ini sebenarnya amat mudah digunakan untuk mereka yang tidak pernah membuat roti apabila hanya perlu memasukkan susu segar, telur, mentega tanpa garam dan terus membakarnya.

Penolong Pengurus Besar The Loaf, Hizmi Ghazali berkata kepada FMT, idea memperkenalkan kit membuat roti itu tercetus selepas menerima banyak permintaan daripada rakyat Malaysia yang teringin merasai roti dan pastri mereka.

“Roti kami sukar dicari kerana lokasinya di merata tempat. Tambahan pula, kami menerima banyak pertanyaan daripada mereka yang tinggal di utara dan selatan supaya menyediakan cara untuk membeli roti daripada The Loaf.

“Selain memberi peluang untuk orang ramai mempelajari kemahiran membuat roti, ia juga membolehkan mereka mencuba sendiri rasa roti kami,” katanya.

Hanya perlu menambah telur, susu segar dan mentega tanpa garam. (Gambar Cecilia Cletus)

Ketika melakukan eksperimen kit membuat roti itu, Chef The Loaf, Johnson Lim mengekalkan tiga perkara penting iaitu memudahkan proses, menjaga kesegaran serta tidak menggunakan bahan pengawet, selari dengan polisi mereka.

“Perbezaan antara tepung dalam kit ini dengan tepung pra-campuran yang dijual di pasaraya adalah ia tidak mempunyai bahan pengawet. Ia juga dihasilkan khas untuk membuat pelbagai jenis roti, sebab itu dipanggil DIY,” katanya.

Jika anda ingin membuat sebuku roti, doh yang disediakan The Loaf itu mempunyai kelebihan dengan rasa berlemak bersama mentega.

Tonjolkan kreativiti anda dengan membuat inti sendiri sama ada manis atau savuri. (Gambar Cecilia Cletus)

Namun, jika ingin lebih mencabar lagi, Chef Lim mencadangkan supaya anda menghasilkan inti menggunakan daya kreativiti masing-masing.

“Anda boleh mencampur keju krim, gula, sos rasberi sebelum dimasukkan ke dalam doh dan rasanya sama seperti Oyaki kami yang popular. Jika lebih kepada roti savuri, anda boleh mencuba membuat inti sosej, cendawan atau kari ayam,” katanya.

Setiap kit membuat roti dibungkus dengan cantik bersama dua paket tepung 250 gram serta arahan yang ditulis secara terperinci.

Kit membuat roti menyediakan setiap langkah terperinci untuk anda menghasilkan roti segar. (Gambar Cecilia Cletus)

Lebih menarik lagi apabila The Loaf turut menawarkan sudu penyukat dan alat pengacau dengan setiap pembelian dua kit membuat roti pada harga diskaun 10 peratus.

Menerusi arahan yang teliti dan sukatan tepat, kit membuat roti ini boleh menjadi sebagai permulaan kepada mereka yang sebelum ini begitu takut untuk mencubanya.

Ia juga sesuai dijadikan sebagai cenderamata untuk dihadiahkan kepada rakan atau ahli keluarga.

Sama ada sebuku roti atau bun, kit DIY ini sememangnya akan menjadi satu aktiviti menyeronokkan untuk seluruh keluarga. (Gambar Cecilia Cletus)

Mengenai perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif The Loaf, Gopalan Menon berkata, perniagaan mereka terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP 3.0.

“The Loaf mempunyai tujuh cawangan di Lembah Klang yang semuanya terletak dalam pusat beli-belah. Sewa di premis ini tidak sama dengan sewa lot kedai. Jika pemiliknya tidak memberi rebat, kami pastinya akan mengalami kesan lebih teruk lagi.

“Sebelum ini pendapatan diperolehi menerusi pelanggan yang menikmati makanan dan minuman panas serta roti di kedai.

Kini, perniagaan hanya terhad kepada jualan makanan dan minuman panas yang dibawa pulang. Kami menderita dalam diam,” jelasnya lagi.

Apa lagi yang anda tunggu? Inilah masanya untuk menunjukkan kemahiran anda membuat roti kepada jiran dan rakan di media sosial. Jangan lupa buat tempahan kit DIY Sweet Roll Dough dengan meninggalkan pesanan di cawangan terdekat di https://linktr.ee/theloaf.asia atau terus ke https://www.facebook.com/TheLoafAsia/ untuk maklumat lanjut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.