Khew cekal bantu anak-anak autisme

Khew cekal bantu anak-anak autisme

Dia yang juga seorang doktor kini berhasrat membantu golongan autisme menjana pendapatan menerusi sebuah kedai roti.

Aktiviti menghasilkan roti masam kini menjadi semakin popular di kalangan masyarakat ketika PKP. (Gambar E Joon Khew)
PETALING JAYA:
“Mari ayah bantu menguli doh,” kata Dr E Joon Khew kepada anak lelakinya yang cuba membuat roti masam atau sourdough bread.

Mereka bukan hanya memanfaatkan masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi aktiviti menguli doh itu sebenarnya membantu anak E Joon, Young Khew-Yap yang mengalami masalah autisme.

Pergerakan yang dilakukan itu berupaya membantu otot pergelangan tangan iaitu bahagian paling penting untuk membina kemahiran motornya.

Khew adalah pengasas Animals for Young, iaitu sebuah pusat pembelajaran yang membantu kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas melakukan terapi bersama haiwan seperti kucing, anjing dan kuda.

Katanya kepada FMT, dia mencuba terapi itu kepada anaknya dan gembira melihat kesan positif yang dialaminya dalam tempoh tiga bulan.

“Selepas melihat ada perkembangan baik, ramai ibu bapa tampil meminta saya membuka sebuah pusat untuk membantu anak-anak autisme,” katanya.

Ia mendorongnya memulakan A Plus for Autism yang berperanan melaksanakan kempen bersifat pendidikan untuk golongan autisme selain menggalakkan orang ramai membantu komuniti itu.

Khew membantu anak lelakinya menguli doh roti. (Gambar E Joon Khew)

Operasi pusat terbabit berjalan lancar sehinggalah perintah PKP dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.

Khew menyedari hidup terkurung di rumah dalam tempoh lama boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak autisme, maka lahirlah inisiatif ketiganya, Autism SourDough.

Katanya, proses menghasilkan roti masam itu boleh membantu perkembangan mereka terutama dari segi kemahiran motor dan fungsi kanak-kanak terbabit selain bertindak sebagai terapi.

“Bagi menghasilkan roti ini, terdapat beberapa langkah spesifik yang perlu diikuti di mana ia amat penting untuk seseorang yang mengalami masalah autisme.

“Dengan hanya menyentuh doh roti, ia berupaya membantu pemprosesan sensori mereka. Keadaan doh yang melekit mungkin kurang disenangi mereka namun ia membentuk sifat sabar dan fokus di kalangan kanak-kanak ini,” jelasnya lagi.

Young Khew-Yap bersedia untuk membakar roti ke dalam ketuhar. (Gambar E Joon Khew)

“Ketika menunggu roti siap, ia memerlukan kemahiran isyarat sensori seperti bau, suara, penglihatan dan sentuhan, manakala proses menguli pula membantu membina kekuatan dan otot,” katanya.

Roti masam mempunyai banyak manfaat kesihatan kerana ia bukan hanya memperbaiki sistem penghadaman dan usus tetapi menurunkan paras gula dalam badan berbanding pelbagai jenis roti lain termasuk yang berprotein tinggi.

Doktor itu bukan hanya membantu kanak-kanak autisme tetapi berharap dapat membantu golongan dewasa yang mengalami masalah sama untuk menjana pendapatan menerusi pembukaan kedai, Autism SourDough sama ada di Kuala Lumpur atau Cyberjaya.

“Perniagaan roti masam semakin mendapat tempat di pasaran. Kita bukan hanya mengajar tetapi melatih pelajar dan membantu mereka memasarkan produk yang dihasilkan ini.

Roti masam mempunyai banyak manfaat kesihatan dan mempunyai rasa yang enak. (Gambar E Joon Khew)

Khew sudah pun memulakan usaha mengutip derma memandangkan dia memerlukan modal sekitar RM50,000 untuk mewujudkan kedai terbabit.

Sumbangan itu akan digunakan untuk membeli peralatan penting seperti peti sejuk, ketuhar, mesin menguli tepung, peralatan dapur, kos sewa serta beberapa bahan lain untuk membuat roti.

“Autism SourDough tidak hanya menjadi sebagai studio membuat roti tetapi gabungan antara kedai roti dan kafe. Kita mahu ia menjadi satu tempat yang memberi pengalaman apabila orang ramai juga boleh berinteraksi dengan mereka.

“Kita ingin mempromosikan kesedaran mengenai autisme di kalangan masyarakat supaya kanak-kanak istimewa ini lebih diterima menerusi industri ini,” katanya.

Jika anda ingin memberi sokongan terhadap penubuhan Autism SourDough, klik sini untuk mendapatkan maklumat lanjut terhadap kempen mengutip derma.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.