
Tanjung Bungah: Ramai di kalangan kita dianggap bernasib baik kerana masih mampu memikirkan apakah hidangan yang ingin dinikmati seterusnya.
Namun, situasi itu jarang sekali dirasai keluarga miskin yang tiada pilihan tetapi terpaksa mengikat perut setiap hari akibat kedaifan hidup mereka.
Lebih menyukarkan lagi apabila ramai yang dilaporkan hilang pekerjaan kerana syarikat tidak lagi mampu membayar gaji pekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sesiapa pun pasti terkesan terutama mereka yang bergantung kepada gaji harian yang diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apabila pendapatan diperolehi hanya cukup makan.
Dengan sumber kewangan yang terhad, ramai tertanya-tanya sama ada mereka mampu bertahan selepas ini walaupun terdapat pasaraya yang menyediakan barang keperluan lengkap tidak jauh dari rumah masing-masing.

Kepayahan itu turut dirasai oleh seluruh tenaga kerja di Sam’s Groceria, Pulau Pinang yang cuba meringankan beban dengan mengagihkan makanan percuma kepada sesiapa saja yang memerlukannya sambil menggalakkan pelanggan melakukan perkara sama.
“Kami percaya tidak ada sesiapa pun harus tidur dalam keadaan perut kosong.
“Sila ambil bungkusan makanan dari meja bertulis ‘MAKANAN PERCUMA’ jika anda kelaparan atau mengenali sesiapa yang kelaparan,” tulis mereka dalam satu hantaran di Facebook pada 5 Jun lalu.
Hantaran itu mendapat sokongan besar daripada seluruh komuniti dan orang ramai yang meninggalkan komen positif dan Sam’s Groceria turut mengalu-alukan bantuan daripada pelanggan juga.
“Bagi anda yang ingin menyertai kami dalam usaha memberi makanan kepada mereka yang kelaparan, anda boleh membeli makanan dari Ram’s Deli dan meninggalkannya di atas meja.
“Sifat belas ihsan anda akan dapat memastikan bahawa golongan kurang berkemampuan ini tidak terus kelaparan,” tulis mereka lagi.
FMT sempat mendapatkan ulasan daripada Pengarah Eksekutif Sam’s Groceria Straits Quay, Azmin Saduruddin, 39, yang juga individu bertanggungjawab mencetuskan idea berkenaan.
“Usaha ini sentiasa dilakukan memandangkan kami sering mendermakan lebihan makanan kepada pengawal keselamatan di pasaraya.
“Pada satu hari, ada orang datang bertanya sama ada mereka boleh mengambil makanan itu untuk disedekahkan kepada rakan. Jadi kami membuat keputusan untuk menyediakannya kepada orang luar juga,” katanya yang memahami situasi orang ramai ketika berdepan pandemik Covid-19.
Saduruddin berkata, pelanggan yang ingin melakukan usaha murni itu hanya perlu membeli makanan daripada kaunter Deli dalam pasaraya terbabit sambil memberitahu pembelian itu adalah untuk tujuan derma.
Biarpun dalam tempoh sehari pelaksanaannya, Sam’s Groceria berupaya menyediakan makanan percuma kepada 66 orang pada Ahad lalu.
Mereka juga sudah menyediakan 130 bungkusan makanan yang sudah dibayar pelanggan dan akan diagihkan oleh pasaraya itu tidak lama lagi.
Saduruddin berharap, inisiatif itu akan dapat diteruskan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan terutama ketika melihat sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh pelanggan.
Sekiranya anda tinggal di sekitar Tanjung Bungah, jangan lupa untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai terutama bagi mereka yang memerlukan bantuan makanan percuma.
Bagi yang ingin membantu pula, mereka boleh singgah sendiri di Sam’s Groceria untuk menyokong usaha ini dengan serendah RM10 untuk memastikan tiada siapa yang terus kelaparan.
Sam’s Groceria
Straits Quay,
Jalan Seri Tanjung Pinang,
10470 Tanjung Tokong, Pulau Pinang
Waktu Beroperasi: 8 pagi – 8 malam (Setiap hari)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]