
Namun, kisah di sebalik kewujudannya dianggap sebagai satu perkara besar dalam hidup dua beradik Lim ini apabila sanggup melepaskan kerjaya untuk memenuhi impian mereka.
“Saya dan adik suka memancing dan keluar ke laut. Ketika di bangku sekolah rendah, kami suka membela ikan laga dan ikan emas,” kata Lim Chun Yong, 37, kepada FMT.
Pada 2012 ketika bercuti dengan keluarga di Langkawi, dia dan adiknya, Chun Sheng melawat sebuah kawasan penternakan ikan dan terus mendapat inspirasi.
“Ketika itu kami gembira melihat anak-anak memberi ikan makan dan menikmati waktu terluang. Ia mencetus keinginan dalam diri kami untuk memiliki perusahaan penternakan ikan sendiri satu hari nanti,” katanya.

Impian itu mengambil masa lima tahun perancangan memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan ikan sangkar.
Chun Yong berhenti sekolah pada usia 15 tahun dan membabitkan diri dalam bidang pengubahsuaian sebelum Chun Sheng menyertainya beberapa tahun kemudian.
Dua beradik itu membuat satu keputusan berani untuk berkecimpung dalam bidang baru dan selepas mengenal pasti lokasi sesuai, mereka mula membina sangkar ikan itu pada 2019 dengan bantuan bapa serta beberapa rakan.

Pada mulanya, mereka hanya melawat beberapa lokasi penternakan ikan sangkar dan mendapatkan nasihat daripada jiran untuk memulakan perusahaan itu.
“Mereka mengajar kami bagaimana untuk menjalankan penternakan ikan sangkar seperti menukar dan membersihkan jaring, tindakan perlu dilakukan sekiranya ikan sakit dan bila masa sesuai untuk memberi makan,” kata Chun Yong.
Dua beradik itu menyedari bahawa kerja menjaga ikan akan membuatkan mereka menjadi lebih sibuk.
Memandangkan kedua-duanya tinggal di Air Itam, mereka membuat keputusan untuk meluangkan lebih masa di Pulau Jerejak sekaligus dapat menjimatkan masa perjalanan.

“Terdapat 36 lubang untuk memancing dengan kira-kira 10,000 ikan di dalamnya,” kata Chun Yong.
Mereka bangun seawal jam 7 pagi untuk memberi makan ikan dan mula bekerja dengan membersihkan jaring sekitar jam 10.30 pagi.
Tugas lain termasuk membersihkan ikan dan ‘memandikan’ ternakan itu.
“Ya, ikan juga perlu mandi tetapi tanpa syampu,” kata Chun Yong berseloroh.
“Kami memancingnya keluar dari lubang sebelum ia direndam dalam baldi bersama air bersih selama lima minit. Selepas itu, ia dimasukkan ke dalam air laut semula supaya semua mikroorganisma dapat dibilas,” katanya lagi.

Selepas dua tahun berlalu, mereka bangga apabila ikan peliharaan yang hanya bermula sekitar tiga inci kini membesar kepada 20 inci.
Ikan merah mereka kini seberat dua kilogram manakala ikan kerapu hybrid pula mempunyai berat sekitar empat hingga lima kilogram.

Situasi pandemik tidak begitu menjejaskan dua beradik ini memandangkan mereka tinggal jauh dari kawasan bandar.
“Kami sepatutnya menerima beberapa pembantu dari Kuala Lumpur tetapi Sekatan Pergerakan Penuh menyebabkan mereka tidak dapat datang ke sini,” kata Chun Yong.
Dia turut menceritakan perkara paling sukar yang dilaluinya apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga.
Chun Yong mempunyai anak perempuan berusia lapan tahun dan anak lelaki berusia 15 tahun manakala Chun Sheng pula mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun.
Bagaimanapun, dua beradik itu tetap menikmati pengalaman mereka sambil diulit dengan bunyi ombak setiap malam selain melihat cahaya lampu indah yang menyinari Jambatan Pulau Pinang.

383 Fishery Enterprise menerima tempahan orang ramai. Untuk memberi sokongan terhadap perniagaan mereka dan membuat tempahan ikan segar, anda boleh menghubungi mereka menerusi WhatsApp di talian 013-5665383.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]