
Rakyat Malaysia sememangnya kaya dengan sifat pemurah dan sentiasa berganding bahu menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang dalam kesusahan tanpa mengira kaum serta agama.
Begitu juga dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengagih makanan kepada golongan memerlukan tetap meneruskan usaha murni mereka terutama ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasa bermula 1 Jun lalu.
Antara pertubuhan itu termasuk PERTIWI (Pertubuhan Tindakan Wanita Islam) Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen, Pit Stop Community Cafe serta SEED Foundation.
Selain bungkusan makanan kepada gelandangan, mereka turut mengagihkan barangan keperluan dapur kepada keluarga miskin di seluruh ibu kota.

Berdasarkan hantaran Pertiwi Soup Kitchen di Facebook, mereka mengagihkan sebanyak 1,650 bungkusan makanan pada hari pertama sekatan pergerakan itu dilakukan.
Ia terdiri daripada sarapan pagi untuk 225 orang di beberapa kawasan seperti Anjung Kelana, Sentul Perdana, Setiawangsa dan Jinjang Utara.
Mereka juga tidak melupakan golongan petugas barisan hadapan dengan mengedarkan 300 bungkusan makanan di Hospital Sungai Buloh.
“Terima kasih juga kepada Dole Malaysia kerana menghantar buah avocado dan nanas yang dihidangkan segera bagi membolehkan ramai masyarakat menikmatinya,” tulis NGO tersebut.
Dalam perkembangan sama, Kechara Soup Kitchen sempat memberi sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin di Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak, sepanjang April lalu.
“Semua 957 penerima diberi sumbangan barangan keperluan asas dan mereka ini terdiri daripada keluarga miskin, kurang upaya serta warga tua.
“Kami turut menyalurkan sumbangan menerusi beberapa pertubuhan kebajikan lain bagi memastikan golongan memerlukan ini tidak terus kelaparan,” tulis NGO itu di akaun Facebook mereka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]