Bachtiar ingin terus hidupkan seni membuat songkok

Bachtiar ingin terus hidupkan seni membuat songkok

Lelaki berusia 84 tahun ini berhasrat tradisi pemakaian songkok diteruskan di kalangan generasi muda.

Selagi ada kudrat, Bachtiar akan meneruskan perniagaan songkoknya di Keramat Mall (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Kuala Lumpur: Jam menunjukkan pukul 10 pagi namun, suasana di Keramat Mall sunyi sepi tanpa kehadiran pengunjung. Kelihatan seorang lelaki yang agak berusia sedang sibuk menjahit songkok di kedai yang terletak di tingkat satu.

Tampak beratus-ratus songkok tersusun rapi di kedai itu selain ada yang ditempatkan di atas meja.

Sesekali dia memandang ke luar, menjengah adakah pelanggan yang berminat untuk masuk ke kedainya pada hari Selasa yang sunyi itu.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Bachtiar Mustafa iaitu pemilik Kedai Songkok dan dia mungkin antara generasi terakhir pembuat songkok di negara ini.

Kedai Songkok yang terletak di Keramat Mall. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Menceritakan pengalamannya, lelaki berusia 84 tahun ini memberitahu FMT bahawa dia pernah berniaga di pasar malam sebelum menanam minat terhadap seni pembuatan songkok.

Bachtiar masih teringat bagaimana dia mengagumi pengalaman yang diceritakan oleh pembuat songkok di Kampung Baru kira-kira 46 tahun lalu.

“Saya ke kedai dan memerhatikan mereka membuat songkok. Kemudian saya mencubanya sendiri.

“Songkok pertama yang saya hasilkan mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan dan sudah tentu ia dilakukan dengan bimbingan pembuat songkok berpengalaman,” katanya.

Sebaik berjaya menguasai kemahiran itu, dia memulakan perniagaan songkoknya di Pasar Datuk Keramat sebelum berpindah ke UTC Keramat pada 2011.

Bachtiar memegang contoh kain yang diambil dari Indonesia untuk menghasilkan songkok. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Sambil mengendalikan mesin jahitnya, Bachtiar turut menceritakan bagaimana dahulu, dia mampu menghasilkan sekitar 15 hingga 20 songkok sehari. Tetapi hari ini, menyiapkan sebuah songkok pun sudah dianggap bernasib baik.

“Pada hari yang agak baik, saya boleh membuat dua atau tiga songkok,” katanya.

Seperti perniagaan lain, persaingan yang dihadapi oleh Bachtiar agak mencabar apabila kini terdapat banyak jenama yang ditawarkan kepada pelanggan biarpun ia dihasilkan dengan bahan kurang berkualiti.

Songkok yang dihasilkan olehnya pula menggunakan kain baldu dan ia sangat lembut serta amat selesai untuk si pemakainya.

Bachtiar menggunakan sudu untuk merata dan membentuk kain bahagian tepi songkok. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

“Harga songkok bergantung kepada lokasi kedai dan jenis kain yang digunakan.

“Sebagai contoh, saya menjual songkok pada harga RM25 tetapi kalau anda membelinya di tengah bandar, mereka mungkin mengenakan harga sekitar RM50 hingga RM60 untuk songkok yang sama,” jelas Bachtiar.

Kita pasti membayangkan kedainya akan dipenuhi pelanggan beberapa minggu menjelangnya Aidilfitri namun apa yang berlaku adalah di sebaliknya dan Bachtiar harus akur dengan situasi itu.

“Sebelum ini, saya sering mendapat permintaan tinggi ketika musim kenduri kahwin dan Ramadan tetapi kini tidak lagi.

Bachtiar kelihatan sibuk melakukan sentuhan terakhir untuk menyiapkan songkok. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

“Cuba anda perhatikan berapa ramai lelaki Islam yang memakai songkok untuk menunaikan Solat Jumaat. Bilangannya tidak begitu ramai.

“Satu ketika dulu, ramai pelajar mengenakan songkok ke sekolah tetapi kini adakah anda masih lihat tradisi seperti itu diteruskan?” soalnya.

Bachtiar kemudian menunjukkan songkok pelbagai saiz yang tersimpan dalam almari kaca namun raut wajahnya kelihatan sedih kerana ia masih belum terjual.

“Biasanya pada waktu begini, semua songkok pasti habis dijual. Tetapi sekarang perniagaan agak teruk.

“Songkok dianggap sebagai pakaian kebangsaan tetapi jika orang ramai tidak meneruskan tradisi ini, tiada siapa lagi akan membelinya,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu menjelaskan, generasi muda kini kurang gemar untuk mengenakan songkok apatah lagi mempelajari seni untuk menghasilkannya.

Perniagaan yang semakin merosot menyebabkan Bachtiar memendekkan tempoh operasi perniagaannya yang bermula jam 9 pagi hingga 3 petang berbanding waktu bekerja yang panjang sebelum ini.

Selagi dikurniakan kesihatan yang baik, Bachtiar berharap untuk terus hidup sebagai pembuat songkok kepada semua pelanggannya.

Bachtiar membantu pelanggan memilih songkok. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Selepas dua jam, terdapat seorang pelanggan yang masuk membeli songkok di kedainya sebelum Bachtiar kembali meneruskan tugas menjahit songkok untuk memastikan seni itu tidak terus lenyap ditelan zaman.

Kedai Songkok
Tingkat Satu Keramat Mall
Kampung Datuk Keramat
54000 Kuala Lumpur,
Kuala Lumpur

No Telefon: 017-3338127

Waktu Operasi: 9 pagi– 3 petang (Tutup pada Jumaat)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.