‘Mashki’ masih setia berkhidmat kepada penduduk Karachi

‘Mashki’ masih setia berkhidmat kepada penduduk Karachi

Mohammad Ramzan jadi mashki atau penghantar air sejak lebih empat dekad lalu.

Mohammad Ramzan menaiki anak tangga setinggi lima tingkat untuk menghantar bekalan air bagi keperluan penduduk.

Dari jauh lagi sudah kelihatan kelibat Mohammad Ramzan yang mengisi air menggunakan beg diperbuat daripada kulit kambing sebelum ia dihantar kepada orang ramai.

Biarpun penat namun dia tetap gigih memikul beg menaiki beberapa anak tangga untuk menghantar bekalan air itu kepada penduduk bandar terbesar di Pakistan, Karachi.

Lelaki berusia 60 tahun itu menabur khidmat sebagai ‘mashki’ atau penghantar air sejak lebih empat dekad lalu dan ia sebenarnya adalah pekerjaan tertua yang semakin pupus.

Tugasnya lebih mencabar ketika Ramadan apabila terpaksa menaiki anak tangga yang tinggi sambil memikul beg berisi 35 liter air itu.

“Ketika Ramadan, agak sukar untuk penduduk mendapatkan bekalan dari sumber air jadi saya menghantar kepada mereka dengan harapan supaya Allah juga memberkati saya selain dapat menjana pendapatan,” katanya.

Manakala seorang penduduk, Mohammad Imran berkata, dia amat berterima kasih dengan perkhidmatan mashki yang membantu mereka memudahkan aktiviti seharian.

“Tugas mashki ini agak mencabar pada bulan puasa kerana terpaksa menaiki anak tangga setinggi empat atau lima tingkat.

“Biasanya, pengendali lori tangki langsung tidak mahu melayan panggilan penduduk selain mengenakan caj yang tinggi. Kami amat bersyukur dengan adanya khidmat mashki ini,” kata seorang penduduk, Mohammad Imran.

Karachi memerlukan sekitar 1,200 juta galon setiap hari untuk memenuhi permintaan penduduknya yang terdiri kira-kira 20 juta orang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan dua sumber bekalan air mereka hanya mampu menyediakan kira-kira 580 juta galon sehari.

Ia tidak mengambil kira pembaziran air yang berlaku akibat kerosakan infrastruktur serta kecurian air sementara beberapa pakar menjelaskan perubahan iklim serta empangan dibina di hulu India juga menyumbang kekurangan bekalan.

Pekerjaan itu sudah lama wujud di Asia Selatan sejak berabad lalu dengan menghantar air kepada pengembara dan pahlawan ketika bertempur pada zaman purba kala.

Namun, Mohammad Ramzan bimbang tugasnya tidak lagi diperlukan satu hari nanti.

“Terdapat banyak lori tangki yang mula menghantar bekalan air manakala syarikat air mineral juga membekalkan air dari rumah ke rumah.

“Disebabkan keadaan ini, kerjaya mashki mungkin tidak akan bertahan untuk tempoh lebih lama,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.