Chef wanita tempatan cipta nama di restoran bertaraf bintang Michelin di AS

Chef wanita tempatan cipta nama di restoran bertaraf bintang Michelin di AS

Zoee Wong bertugas sebagai chef de partie di Birdsong, San Francisco.

Zoee Wong kini bekerja sebagai chef di restoran bertaraf bintang Michelin di San Francisco, Birdsong. (Gambar Ahmad Sadiq)

Kuala Lumpur: Ketika bidang kulinari menerima kehadiran lebih ramai chef profesional wanita, di Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila ramai chef wanita turut menempa nama di dalam dan luar negara.

Antara wanita berjaya itu termasuklah Zoee Wong yang kini bertugas sebagai chef de partie di Birdsong, iaitu sebuah restoran bertaraf bintang Michelin di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Wong bukan calang-calang orang apabila memiliki pengalaman luas dari restoran mewah di seluruh dunia sekali gus mengangkat kedudukannya sebagai profesional dalam bidang itu.

Ketika membuat perancangan untuk pulang ke AS, Wong sempat berkongsi pengalamannya bersama FMT.

“Saya mula memasak sejak berusia lapan tahun dan memasang impian untuk menjadi seorang chef pastri,” katanya.

Memandangkan keluarganya begitu suka kepada makanan, ia memberi peluang kepada Wong untuk mengasah kemahiran memasak dan dari situ dia mula membuat pastri.

Hidangan pencuci mulut dikenali sebagai ‘Fried Rice’ dihasilkan oleh Wong menggunakan susu beras bakar dan mangga segar. (Gambar Ahmad Sadiq)

“Saya pernah membuat kek hari jadi untuk orang lain,” katanya.

Namun, bagaimana seorang chef pastri muda ini boleh mengembangkan sayapnya hingga ke restoran bertaraf bintang Michelin di AS?

Dia sebenarnya ditawarkan bekerja di Birdsong oleh pengasas restoran itu sendiri, Christopher Bleidorn dan mereka pernah bekerjasama sebelum ini.

Melihatnya sebagai satu peluang untuk mencuba cabaran baru, Wong tidak teragak-agak menyambar jawatan yang ditawarkan pada Februari tahun lalu itu.

Wong mengakui, suasana bekerja di restoran eksklusif seperti itu jauh bezanya berbanding restoran biasa.

“Ia memerlukan ketelitian. Setiap herba yang diletakkan dalam makanan akan diperiksa terlebih dulu bagi memastikan ia tidak rosak atau lebam.

“Setiap komponen sos juga dirasa dengan teliti untuk memastikan ia sesuai dengan hidangan,” katanya.

Menurut Wong, bekerja di restoran bertaraf bintang Michelin memerlukan sifat dedikasi dan ketelitian yang tinggi. (Gambar Zoee Wong)

Ditanya sama ada suasana dapur di tempat kerjanya agak huru-hara seperti dipaparkan dalam program bercorak realiti di kaca televisyen, dia menafikannya.

“Keadaan dapur kami terbuka dan dikendalikan dengan tenang oleh chef yang boleh bekerja di bawah tekanan,” katanya.

Wong berkata, bukan semua chef di dunia ini mempunyai personaliti seperti Gordon Ramsay.

“Kami bukan bersikap pemarah dan biadab setiap masa! Saya bekerja dengan chef yang peramah, berbakat serta berjiwa besar,” katanya.

Dia sentiasa mendapat inspirasi daripada chef yang berjaya mengubah cara dia melihat makanan.

Mengenai peranan wanita secara profesional dalam bidang itu, Wong berkata dia melihat kehadiran chef wanita semakin memberangsangkan.

“Saya rasa kehadiran wanita di dapur profesional semakin menggalakkan tetapi kita perlu mendapat lebih banyak pengiktirafan lagi. Saya harap trend ini akan terus berkembang,” katanya.

Kek coklat yang dibuat menggunakan kopi dan buah markisa. (Gambar Zoee Wong)

Wong percaya, nilai paling utama dalam penyediaan makanan ialah keupayaanya untuk menimbulkan semangat perpaduan di kalangan orang ramai dan peranannya terhadap muka bumi ini.

“Semakin lama, saya merasakannya ia semakin penting untuk menggunakan makanan sebagai cara menghormati bumi, iaitu dari segi penggunaan bahan dan orang yang menghasilkannya,” katanya.

Dengan situasi pandemik Covid-19 yang menganggu perjalanan dunia, trend juga berubah apabila terdapat permintaan tinggi terhadap makanan yang pantas dan mudah.

“Orang ramai akan melihat konsep yang lebih bijak dan penggunaan sumber makanan lebih lestari,” katanya sambil menjelaskan chef restoran mewah terpaksa menyesuaikan diri untuk kekal bertahan.

Lahir dan membesar di Malaysia, Wong juga berminat terhadap kemungkinan untuk mengeksport makanan Malaysia ke dapur antarabangsa.

“Saya akan membuat sandwich berinti sambal,” katanya berseloroh ketika ditanya sama ada pernah menyediakan menu tempatan untuk pelanggan di AS.

Wong percaya peranan wanita di dapur profesional semakin mendapat pengiktirafan. (Gambar Ahmad Sadiq)

Keengganannya untuk menyediakan menu Malaysia adalah kerana banyak lagi yang perlu dipelajarinya.

Bagaimanapun katanya, dia terbuka dengan idea budaya silang kulinari yang sentiasa mendapat perhatian dalam sejarah makanan.

Biarpun terdapat restoran bertaraf bintang Michelin dibuka di Thailand dan Filipina, Wong tidak pasti sama ada restoran seperti itu akan beroperasi di Malaysia.

Pada masa sama, Wong berpendapat amat penting untuk seseorang chef menghargai pengalaman dan melihatnya sebagai satu perkara yang boleh dipelajari jika ingin terus berkembang.

“Lakukan saja! Ia amat membantu apabila ramai wanita di luar sana melakukannya, jadi jangan takut untuk meneruskannya,” nasihat Wong kepada wanita yang berminat menceburi kerjaya dalam bidang kulinari.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.