Kilang kopi dipanggang arang masih teguh sejak 62 tahun lalu

Kilang kopi dipanggang arang masih teguh sejak 62 tahun lalu

Pemilik kilang generasi ketiga, Tan Loon Chuan, 63, gigih mengusahakan kilangnya setiap hari dengan melakukan semua proses hingga menjadi serbuk kopi.

Pemilik, Tan Loon Chuan menuang campuran kopi, gula dan mentega ke dalam pengisar. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)
KLANG:
Di sebalik bunyi bising, aroma kopi yang harum semerbak akan menggamit deria bau anda.

Itu tandanya anda sudah sampai ke sebuah kilang kopi yang sudah berusia 62 tahun di Kampung Jawa, Klang.

Sama seperti usia kilang itu, papan tandanya yang bertulis ‘Chuan Hoe & Company Coffee Powder Factory’ juga kelihatan lusuh selain terdapat beberapa guni kopi seberat 60 kilogram di bahagian kiri dan kanan premis berkenaan.

Tan bekerja di kilang Chuan Hoe Coffee sejak berusia 18 tahun. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

”Perniagaan ini bermula daripada datuk saya. Dia datang dari Indonesia dan pada asalnya mengimport biji kopi dan menjualnya kepada kilang. Bagaimanapun, perniagaan tidak begitu baik menyebabkan dia mencuba idea lain,” kata Tan yang juga pemilik kilang generasi ketiga.

Akhirnya, datuk Tan muncul dengan idea untuk memulakan kilang kopinya sendiri dengan kelainan tersendiri iaitu biji kopi mesti dipanggang menggunakan arang.

Tan mengakui, dia sudah bekerja di kilang itu sejak berusia 18 tahun lagi.

Walaupun kini berstatus sebagai pemilik kilang, namun dia tetap tiba paling awal setiap hari untuk memulakan proses memanggang kopi pada jam 7 pagi.

Tan tiba pada jam 7 pagi setiap hari untuk memanggang biji kopi. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

“Jika pembuat kopi lain menggunakan gas yang lebih mudah untuk dikawal. Namun, kami menggunakan arang yang harus dipastikan api sentiasa menyala. Namun, segala susah payah membuahkan hasil kerana haruman kopi akan menjadi lebih wangi,” katanya.

Biji kopi yang digunakannya diperolehi daripada pembekal tempatan dan luar negara termasuk Indonesia, India dan Brazil.

Biji kopi yang dipanggang kemudiannya dimasak bersama gula dan mentega. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Sebaik biji kopi siap dipanggang, dia memasukkan ke dalam tong besar dan dimasak bersama gula dan mentega hingga membentuk satu cairan hitam pekat.

Sebaik adunan itu kering, ia akan dipecahkan kepada kepingan kecil sebelum dimasukkan pula ke dalam mesin pengisar untuk dijadikan sebagai serbuk kopi.

Pekerja Tan memecahkan kepingan adunan kopi yang sudah disejukkan. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Sambil memegang alat pemutar, dia memerhatikan proses mengisar kopi dengan teliti dan kadangkala memusingnya dengan alat berkenaan.

Menurut Tan, dia hanya mempunyai dua pekerja untuk membantunya melakukan kerja membuat kopi manakala selebihnya menguruskan proses pembungkusan.

Kopi yang dikisar kini dibungkus untuk diedarkan. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Beberapa minit kemudian, guni di sebelahnya siap dipenuhi dengan kopi kisar segar dan dalam sekelip mata saja, suasana kilang bertukar harum dengan bau kopi.

Tan berkata, mereka menghasilkan kira-kira 120 kilogram serbuk kopi pada setiap hari bergantung kepada permintaan pelanggan tempatan jika mereka kekurangan bekalan.

“Ada sesetengah pelanggan hanya datang untuk membeli biji kopi kerana mereka mempunyai mesin kopi sendiri di restoran,” katanya.

Dia bernasib baik kerana tidak terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 tetapi tidak lagi menerima kunjungan pelancong yang biasanya sanggup datang dari Hong Kong untuk membeli kopi keluarannya.

Kopi Chuan Hoe bukan hanya menghasilkan kopi hitam panggang yang sesuai dinikmati bersama roti bakar tetapi juga gula batu, kopi putih, kopi drip dan kopi Hainam Cham untuk mereka yang sukakan campuran teh dalam kopi.

Sebagai pembuat kopi, Tan mengakui dia lebih gemar merasai kopi yang dihasilkannya sendiri.

Tan gemar menikmati kopi keluarannya sendiri. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Ditanya mengenai perancangan masa depan perniagaannya, Tan berkata dia masih tidak pasti sama ada dua anaknya bersedia mengambil alih tanggung jawab berkenaan.

“Saya akan bekerja selagi terdaya,” katanya.

Berminat untuk merasai secangkir kopi hitam yang dipanggang menggunakan arang? Anda boleh mendapatkan produk ini menerusi Shopee dan Lazada.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.