
Orang Asli mempunyai kualiti hidupnya yang tersendiri dan kehidupan mereka begitu dekat dengan alam semula jadi.
Apa saja hasil hutan di keliling mereka, ia dijadikan sebagai sumber kehidupan termasuklah dalam penyediaan makanan tradisional.
Itu yang cuba ditonjolkan oleh Syarifah Nadhirah Syed Abdul Rahman, 27, yang menghasilkan buku bertajuk ‘Recalling Forgotten Tastes’ yang terkandung ilustrasi hasil hutan yang boleh dimakan dan hidangan tradisional komuniti Orang Asli di Selangor dan Negeri Sembilan.
Buku itu terhasil selepas dia menyelami masyarakat Orang Asli di hutan selama setahun dan mempelajari pelbagai aspek kehidupan mereka dan kegunaan tumbuh-tumbuhan tertentu.
Menerusi ilustrasi menggunakan lukisan cat air itu, buku terbabit turut memuatkan perbualannya dengan pemandu pelancong Orang Asli yang menjelaskan bagaimana makanan mereka disediakan dan perjalanan untuk mencari makanan.
Ia juga bertujuan mendokumentasikan pengetahuan Orang Asli mengenai hutan belantara sebelum ia lenyap begitu saja.
Menurutnya, idea itu tercetus selepas dia bertemu dengan pakar antrapologi, Dr Rusaslina Idrus di Universiti Malaya.
“Idea projek buku ini bermula pada 2019 selepas bertemu dengan Dr Rusaslina. Dia sudah lama bekerjasama dengan komuniti Orang Asli dan memperkenalkan kenalannya di Negeri Sembilan,” katanya.
Ketika dia dan Dr Rusaslina berkunjung ke sambutan Krismas komuniti itu, salah seorangnya membawa mereka melawat sebuah taman.
“Kebanyakan maklumat yang diceritakannya tidak pernah direkod dan hanya diceritakan secara spontan mengenai tumbuh-tumbuhan yang mereka gunakan setiap hari dan untuk dimasak. Ia mendorong saya untuk mendokumentasikan semua ini,” katanya.
Dia turut belajar mengenali daun kulim yang boleh dimakan dan lazimnya digunakan untuk masakan ikan.
“Barunya seperti kunyit tetapi lebih kuat dan harum,” katanya.
Katanya, pengalaman mengikuti Orang Asli mengubah cara dia melihat kehidupan Orang Asli sebelum ini.
“Makanan mereka agak berbeza. Apa yang akan dinikmati pada hari itu bergantung dengan tumbuh-tumbuhan yang ditemui dan mengikut musim.
“Contohnya, jika cuaca kering, ada tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh ditemui dan mereka akan menanam tanaman padi atau sayuran berakar sebagai sumber karbohidrat. Jika musim hujan pula, agak sukar untuk mencari haiwan sebagai sumber protein,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]