Lebih 1,000 penduduk Orang Asli Pos Belar putus hubungan akibat tanah runtuh

Lebih 1,000 penduduk Orang Asli Pos Belar putus hubungan akibat tanah runtuh

Seorang penduduk berkata keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat keluar untuk urusan di Bandar Gua Musang atau membeli bekalan makanan.

Tanah runtuh pos balar
Beberapa kampung Orang Asli di Pos Belar di Gua Musang, Kelantan terputus hubungan selepas laluan ke penempatan itu tidak dapat dilalui kenderaan akibat tanah runtuh. (Gambar Facebook)
GUA MUSANG:
Lebih 1,000 penduduk Orang Asli terputus hubungan susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Tapai, Pos Hau semalam yang mengakibatkan laluan ke Pos Balar tidak dapat diakses walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata keadaan itu menyebabkan penduduk tidak dapat keluar untuk urusan di Bandar Gua Musang atau membeli bekalan makanan.

“Saya berharap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman itu dipercayai punca kejadian tanah runtuh tersebut.

Beliau berkata lima pemuda yang dalam perjalanan pulang ke Pos Balar terpaksa mengangkat tiga motosikal selepas terkandas di kawasan timbusan tanah berkenaan semalam.

Menurutnya setakat tengah hari tadi, kelima-lima mereka masih belum tiba di rumah masing-masing di Kampung Ipes dan Kampung Barung dipercayai kerana keadaan lumpur tebal telah melambatkan perjalanan mereka.

“Saya dimaklumkan oleh penghulu Kampung Tapai tentang kejadian itu semalam sebagai makluman awal kepada penduduk di Pos Balar, sekiranya ada yang ingin memulakan perjalanan keluar dari pos hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.