Papadom kini dalam perisa telur masin

Papadom kini dalam perisa telur masin

Dr Thaevendran Kananathan dan David Leo, memperkenalkan semula papadom kepada rakyat Malaysia dengan perisa Sichuan Spicy Mala, Telur Masin dan Tom Yam.

Pengasas Doubly Delicious, Dr Thaevendran Kananathan dan David Leo. (Gambar Cecilia Cletus)
PETALING JAYA:
Papadom yang diperbuat daripada kacang dal biasanya digoreng dalam minyak panas selama beberapa saat sebelum dihidang dan dinikmati rangup bersama nasi, sambar dan sayur.

Kerepek nipis dan rangup ini menyebabkan si pemakan terlalu asyik dan dapat menghabiskannya dalam tempoh beberapa saat saja.

Bagaimana pula jika snek yang mengasyikkan ini ditambah dengan sos berwarna keemasan yang sudah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia?

Papadom perisa telur masin.

Sebelum anda kecam dan berkata apa-apa, dua pengusaha ini berharap rakyat Malaysia boleh menerima dan menikmati kesedapan papadoum perisa telur masin pertama dunia.

Bagi pengasas Doubly Delicious, Dr Thaevendran Kananathan dan David Leo yang masing-masing berusia 37 tahun, mereka sudah lama mempunyai idea untuk terbabit dalam perniagaan papadom.

Double Delicious mempunyai tiga perisa, Sichuan Spicy Mala, Telur Masin dan Tomyam (Gambar Cecilia Cletus)

“Saya adalah pengamal perubatan manakala David terbabit dalam pengedaran minuman tetapi kami adalah rakan sekolej pada 2005.

“Dua tahun dulu kami makan di lokasi yang menghidangkan Sichuan Mala yang sedap dan teringat zaman kolej di mana kami mengunyah berbakul papadom di sebuah restoran India Selatan,” kata Thaevendran.

Ia sekali gus menjadi pencetus idea kepada David yang juga penggemar makanan India Selatan.

“Apa kata kita hasilkan papadom yang diberi perisa Sichuan Mala?” cadangnya sebelum dua rakan itu terus menghasilkan snek tersebut.

Bagaimana pun, ia bukanlah satu perjalanan mudah buat mereka, memandangkan snek berasaskan papadom masih baru di pasaran dan ramai yang menolak produk itu dengan alasan produk kentang goreng lebih diminati hingga mereka pernah ditolak lebih sepuluh kali.

Menurut David, mereka mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan produk yang lebih baik.

Pembangunan dan penyelidikan yang dilakukan mengambil masa setahun namun mereka mahu mencipta produk yang benar-benar berkualiti untuk rakyat Malaysia lalu mengambil masa setahun lagi untuk mendapatkan sijil halal.

Papadom tradisional dikatakan mempunyai kandungan sodium yang tinggi dan ramai yang tidak gemar makanan bergoreng akan menjauhinya.

Menurut Thaevendran, papadom keluaran Doubly Delicious mempunyai kandungan sodium yang rendah. (Gambar Cecilia Cletus)

“Sebagai orang yang terbabit dalam bidang kesihatan, saya faham kebimbangan pengguna mengenai papadom dan saya mahu ia mengekalkan kualiti nutrisinya. Disebabkan itu, kita memilih untuk membakar berbanding menggorengnya,” kata Thaevendran.

Sekumpulan doktor juga mengakui pada awalnya ia agak mencabar untuk mencari jalan bersama pasukan pengeluar untuk mengurangkan kandungan sodium dalam papadom.

Namun, mereka akhirnya berjaya mengurangkan sebanyak 80 peratus kandungan sodium.

Jika anda merasainya, ia bukanlah bersaiz biasa tetapi dihasilkan dengan saiz sebesar syiling 50 sen.

Setakat ini, Doubly Delicios mengeluarkan tiga perisa, papadom telur masin, Sichuan Spicy Mala serta tomyam.

Papadom Sichuan Spicy Mala dan telur masin. (Gambar Cecilia Cletus)

Jika anda teringin untuk menikmati rasa lemak, papadom telur masin adalah pilihannya tetapi jika mencari snek yang lebih pedas pula, Sichuan Spicy Mala memang terbaik.

“Kami tahu terdapat banyak papadom di luar sana tetapi kami ingin memperkenalkannya dengan cara yang lebih berani,” kata David.

Menurut David, papadom perisa telur masin sudah pun mendapat tempat di hati rakyat Malaysia apabila jualannya meningkat dan siapa yang boleh tahan dengan rasa kombinasi rangup dan berlemak itu?

Jika anda peminat makanan pedas, boleh mencuba perisa Sichuan Spicy Mala. (Gambar Cecilia Cletus)

Bungkusan ikonik berwarna kuning mengandungi papadom perisa telur masin itu boleh dihabiskan sekali makan saja mungkin kerana perisa itu memang sedap dan mudah digabungkan dengan makanan lain.

Berminat untuk mendapatkan papadom ini? Anda boleh ke laman Facebook dan Instagram Doubly Delicious mereka selain mendapatkannya di Shopee.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.