Masa depan suram, pembuat beca terakhir di Pulau Pinang bakal bersara

Masa depan suram, pembuat beca terakhir di Pulau Pinang bakal bersara

Choo Yew Choon mengimbau pelbagai kenangan manis bersama pelanggan luar negara hingga kerabat DiRaja sebelum bakal melabuhkan tirai perniagaannya yang beroperasi sejak berabad lalu.

Sebaik Choo bersara, seni membuat beca juga akan berakhir bersamanya (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)
GEORGETOWN:
Jika anda pernah ke Australia, New Zealand, Perancis atau Jerman, jangan terkejut jika ternampak kelibat beca dari Pulau Pinang yang melintasi jalan sekitar negara itu malah di Menara Eiffel juga.

Sebelum beca ini ke luar negara, ia dihasilkan dengan penuh seni dan ketelitian menerusi buatan tangan Choo Yew Choon di bengkel Hup Huat.

Choo yang kini berusia 64 tahun adalah individu terakhir di Pulau Pinang yang boleh menghasilkan beca termasuk untuk Sultan Johor selain pelanggan tempatan dan luar negara.

“Kira-kira enam atau tujuh tahun lalu, Sultan Johor menempah beca daripada saya dan sebaik siap, dia menghantar seseorang untuk mengambilnya dengan kenderaan tentera,” katanya yang menghasilkan semua beca di Pulau Pinang.

Choo memotong besi untuk menghasilkan beca. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

Ketika disambut dengan percikan api dari pintu gelap berwarna 19, anda pasti terpegun dengan hasil kerja tangan di bengkel pembuat beca terakhir ini.

Ia sentiasa dipenuhi dengan basikal manakala rak pula letaknya susunan tayar selain kelihatan peralatan besi di serata bengkel.

Begitulah keadaan sibuk di bengkel yang beberapa tahun lalu penuh dengan beca namun, kini tinggal basikal.

Choo menunjukkan beca merah yang pernah dihasilkannya beberapa tahun lalu selain menjelaskan proses membuatnya. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

“Terdapat tiga jenis beca iaitu yang biasa anda lihat digunakan untuk membawa penumpang, kedua beca penjaja dan satu lagi untuk membawa barangan,” kata Choo.

Menurutnya, selain tiga jenis itu, beca juga dibahagikan kepada tiga bahagian terdiri daripada bahagian kayu, besi dan basikal.

Dengan tempoh 20 hari dan kos RM6,000, Choo berupaya menghasilkan beca cantik yang diubahsuai mengikut tangan seninya yang tersendiri.

“Beca saya berbeza dengan beca tradisional kerana tempat duduk ini berukuran 34 meter lebar berbanding 30 meter bagi membolehkan penumpang duduk selesa,” katanya.

Sambil berseloroh, dia berkata ia memandangkan saiz individu ketika ini semakin besar dan idea menghasilkan tempat duduk luas lebih sesuai.

Choo memotong besi di bahagian bawah beca penjaja. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

Pada masa sama, Choo kelihatan sibuk membaiki beca penjaja berwarna biru di bengkelnya yang kayunya mula usang namun ia hanya mengambil beberapa hari untuk pembuat itu menyiapkannya.

Memandangkan dia sudah biasa, lelaki berkenaan langsung tidak gentar mengendalikan peralatan serta kerja membabitkan proses memotong besi.

Sambil menyiapkannya, dia sempat menceritakan bagaimana permulaan hidup dengan beca selain mengimbau semula pelanggan yang sentiasa diingati.

Choo menghasilkan lebih 100 beca sepanjang kerjayanya. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

“Saya mula berminat dengan kerja mekanik ketika berada di darjah empat atau lima manakala anak lelaki saya mula lebih awal ketika berusia tujuh tahun apabila dia meleraikan sebuah basikal,” kata Choo.

Namun, semuanya benar-benar bermula apabila moyang Choo membuka perniagaan Hup Huat berabad lalu dengan nombor kedai 399 di Chulia Street.

“Saya bekerja sebagai juruteknik di kilang besi namun sejak ayah sakit, saya mengambil alih bengkel itu selama 30 tahun,” katanya.

Ketika perniagaan keluarga itu diturunkan kepada empat generasi, kerja yang dilakukan dalam tempoh 100 tahun juga turut berubah.

Choo terkenal di Pulau Pinang yang ia boleh dilihat menerusi beberapa keratan akhbar mengenai dirinya yang ditampal di dinding bengkel. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

“Kini saya banyak menghabiskan masa membaiki basikal dan basikal roda tiga kerana hanya terdapat 150 beca saja di Pulau Pinang.

“Ia tidak seperti dulu kerana tidak banyak yang boleh dibaiki sekali gus mengurangkan pendapatan. Jadi, saya tidak mahu anak-anak mengambil alih perniagaan yang semakin suram ini,” katanya.

Jika dulu, terdapat beca penjaja berbaris menghadap Gurney Drive dan laut hingga Choo tidak menang tangan apabila kira-kira 2,574 beca berada sekitar Pulau Pinang.

Seorang pelanggan meninggalkan basikal di bengkel Hup Huat untuk dibaiki. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

“Apabila saya ke Gurney Drive, banyak kerja yang boleh dilakukan kerana dipanggil setiap minggu untuk membaiki beca penjaja.

“Setiap kali habis membaiki, terdapat penjaja lain pula yang memanggil dan kadangkala saya membaiki kerusi dan meja besi yang digunakan pelanggan untuk duduk makan,” katanya.

Menurutnya, beca harus berada dalam keadaan baik untuk lulus pembaharuan lesen dalam tempoh empat bulan dan dia juga teringat kisah seorang pelanggan yang tidak dapat kelulusan pihak berkuasa 60 tahun lalu.

“Pihak berkuasa dulu agak tegas dan kini tidak lagi seperti itu. Apabila ingin memperbaharui cukai jalan, mereka akan memeriksa beca dan jika terdapat lubang pada bumbung, ia akan dikoyakkan dengan pisau dan mengarahkan mereka datang semula jika sudah dibaiki,” katanya.

Apabila ditanya mengapa mereka bertindak sedemikian, Choo menjelaskan, ia tidak bagus untuk imej pelancongan Pulau Pinang sekiranya pelancong yang dibawa basah terkena hujan akibat bumbung bocor.

Bahagian hadapan bengkel Hup Huat yang masih berdiri teguh. (Gambar Tsen Ee Lin @ FMT Lifestyle)

Dengan sejarah pelanggan yang mengagumkan, tidak hairanlah bengkel Hup Huat mampu beroperasi lebih 100 tahun namun ia bakal berubah dalam tempoh lima tahun lagi.

“Sebaik saya kehabisan stok tayar yang disimpan, saya bercadang untuk bersara,” katanya.

Menurutnya, dia menganggarkan bekalan tayar itu boleh bertahan dalam tempoh empat atau lima tahun lagi manakala umurnya juga akan menginjak usia 70 tahun.

Tiba masanya, Choo akan menamatkan operasi Hup Huat dan masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pembuat beca terakhir itu.

Kedai Membaiki Beca dan Basikal Hup Huat
19th Jalan Pintal Tali
10100 George Town
Penang

Waktu operasi: 4 petang hingga tengah malam, setiap hari

Jika anda ingin bertemu Choo singgahlah ke kedainya atau hubungi di talian 016 459 5213.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.