Sejarah di sebalik nama-nama jalan popular di George Town

Sejarah di sebalik nama-nama jalan popular di George Town

Pelbagai cerita menarik yang jarang diketahui mengenai nama jalan di Pulau Pinang.

Sekeping gambar Campbell Street atau Sin Kay pada tahun 1966 seperti disebut orang Hokkien yang diterjemahkan sebagai ‘jalan baharu’. (Gambar R.S Murthi)

Jika bersiar-siar di lorong sekitar George Town yang menawarkan pelbagai makanan sedap dan mural, anda mesti pernah melintas beberapa jalan yang popular ini.

Nama seperti Love Lane dan Armenian Street mungkin pernah anda lihat namun cerita di sebalik jalan bersejarah ini pula kurang didengari.

Pelbagai cerita menarik diungkap, daripada kisah puak Syiah yang meluahkan perasaan cinta dengan menyeksa diri menggunakan pedang tajam hinggalah nama jalan pelik dalam Hokkien yang jika diterjemahkan bermaksud rumah penyembelihan lembu.

Semua cerita ini akan mendedahkan kisah di sebalik nama-nama jalan di Pulau Pinang.

1. Light Street (Lebuh Light)

Tugu Francis Light yang dibina di Light Street, Fort Cornwallis. (Gambar Wikipedia)

Jalan ini dibina dan dinamakan bersempena nama Kapten Francis Light di antara 1786 hingga 1787. Lebuh Light bukan hanya berusia lebih 200 tahun tetapi ia lebih tua dari Singapura dan Kuala Lumpur.

Pelayaran pertama Light di George Town pada 17 Julai 1786 dan tempat pertama yang dibangunkan di pulau tersebut adalah di Light Street sekarang.

Kawasan esplanade yang dipenuhi hutan pada masa itu, perlu dibangunkan serta-merta. Light punya perancangan tersendiri dengan menggajikan pendatang asing yang tinggal di situ untuk membantunya membersihkan hutan tersebut.

Esplanade kini dikenali sebagai ‘Padang’ oleh masyarakat tempatan dan selepas ia dimajukan, jalan pertama yang dibina di Pulau Pinang ialah Light Street sebelum wujudnya jalan-jalan lain di pulau itu.

2. Love Lane (Lorong Love)

Lorong Love dari persimpangan Chulia Street. (Gambar Polopinangite)

Seperti juga rumitnya soal cinta, cerita di sebalik Love Lane juga mengelirukan kerana terdapat tiga teori berbeza.

Teori pertama membabitkan kedatangan pengikut Syiah di George Town ketika abad ke-19 yang mengadakan sambutan Awal Muharram dengan membasahi Chulia Street dan Love Lane dengan darah.

Sebelum muzik rancak kedengaran di jalan ini, laungan sedih ‘Hassan! Hussain! bergema di seluruh jalan dilontarkan oleh mereka yang mengagung-agungkan Saidina Ali RA.

Sambutan itu membabitkan perbuatan yang menyakitkan diri termasuk menyeksa badan dengan pedang dan besi tajam, arang panas dan besi cangkuk.

Ramai pejalan kaki yang melihatnya tersentuh dengan perasaan cinta mereka kepada Saidina Ali lalu tercetuslah nama jalan Love Lane.

Teori kedua pula mengatakan ia dinamakan sempena pegawai British bernama Love yang ditugaskan ke George Town manakala satu lagi teori pula lebih berbau skandal.

Jalan yang pernah dipenuhi dengan kebun buluh ini menjadi lokasi terbaik untuk kelasi Eropah dan askar masuk secara bersembunyi menerusi pokok buluh untuk menjalin hubungan dengan wanita tempatan.

Manakala selepas rumah pelacuran mula dibuka di Love Lane, terdapat satu khabar angin mengatakan ahli perniagaan Cina dan Peranakan menggunakan lokasi itu untuk menyembunyikan perempuan simpanan.

3. Armenian Street (Lebuh Armenian)

Rumah jenis “townhouse” berwarna hijau di Armenian Street adalah pangkalan rahsia dalam merancang kejatuhan Empayar Qing. (Gambar Supanut Arunoprayote)

Armenian Street juga adalah salah satu tempat bergambar paling digemari yang menempatkan mural popular dunia, ‘Children on a Bicycle’.

Di sebalik cahaya lampu yang menghiasi jalan ini, terdapat satu kisah silam yang ganas membabitkan pergaduhan puak.

Malah, salah satu rumah di situ digunakan oleh Sun Yat Sen yang kemudiannya menjadi presiden sementara pertama China.

Dia pernah mengadakan persidangan Pulau Pinang 1910 untuk mengumpul dan merancang pemberontakan yang akhirnya menjatuhkan dinasti terakhir, Empayar Qing.

Dinding sama yang pernah menjadi saksi terhadap rancangan Sun itu masih kukuh berdiri di Armenian Street dan dinding rumah “townhouse” diubah menjadi muzium Sun Yat Sen.

4. Malay Street (Lebuh Melayu)

Papan tanda dwi bahasa Malay Street (Gambar Polopinangite)

Sebelum jalan yang berunsurkan Cina pada lewat abad ke-19 ini, ia merupakan laluan kampung bagi penempatan Melayu yang pernah wujud dan diduduki oleh orang Melayu dan pendatang dari Sumatera, Indonesia. Maka, kerana itulah ia diberi nama Malay Street (Lebuh Melayu).

Nama yang kedengaran berbunyi Inggeris dan bahasa Melayu ini pula disebut sebagai ‘Thai Gu Au’ dalam bahasa Hokkien yang diterjemahkan sebagai ‘jalan sembelih lembu’.

Bagaimana pun, terdapat alasan munasabah mengenai nama itu kerana ketika penempatan Melayu masih wujud, ia dikenali sebagai tempat membela dan menyembelih lembu.

Selain berfungsi sebagai sempadan Penang dan zon penampan Tapak Warisan Dunia UNESCO, Malay Street juga menjadi tempat sekolah Cina terbaik, Sekolah Tinggi Chung Ling kali pertama ditubuhkan sebelum berpindah ke lokasi sekarang di Air Itam.

5. Pitt Street (Jalan Masjid Kapitan Keling)

Gambar Masjid Kapitan Keling pada 1968. (Gambar R.S Murthi)

Jalan ini dinamakan sempena nama Perdana Menteri Britain, William Pitt the Younger oleh Francis Light.

Pitt Street juga dikenali dengan nama Jalan Masjid Kapitan Keling selepas Masjid Kapitan Keling dibina di atas premisnya pada 1801. Kini, ia digelar sebagai ‘Jalan Harmoni’ Pulau Pinang.

Semua premis di Pitt Street terletak berdekatan dan empat pusat budaya bersama tempat ibadat agama berbeza yang wujud secara harmoni di kawasan letaknya Masjid Kapitan Keling, Tokong Kuan Yin, Kuil Sri Mahamariamman dan Gereja St George.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.