Limpahan kasih sayang keluarga dalam lipatan tradisi kuih kapit

Limpahan kasih sayang keluarga dalam lipatan tradisi kuih kapit

Eng Seng meneruskan tradisi pembuatan kuih kapit mengikut cara tradisional – dengan ikatan kasih sayang sekeluarga.

‘Love Letter’, biskut kegemaran masyarakat Cina, juga dikenali sebagai Kuih Kapit atau Kuih Belanda.
GEORGETOWN:
Siapa yang tak kenal dengan kuih kapit atau lebih dikenali dengan panggilan ‘love letter’. Kuih tradisi masyarakat Cina ini sering menjadi kuih wajib setiap kali tibanya Tahun Baru Cina.

Tetapi di sebalik keenakannya, kuih kapit mempunyai cerita yang tersembunyi – ia menjadi perantaraan surat cinta buat anak gadis Peranakan.

Dahulu, gadis-gadis Peranakan dilarang oleh ibubapa mereka dari berjumpa dengan lelaki seusia mereka.

Waktu itu telefon dan mesej belum lagi ujud, jadi cara mereka menyampaikan surat cinta kepada kekasih adalah dengan meletakkannya di dalam lipatan kuih kapit.

Mungkin dari situlah datangnya nama ‘love letter’.

Di bawah kemah, kuih kapit Eng Seng dimasak segar dari laman rumah mereka.

Samada ia mesej rahsia atau tidak – dengan aroma kelapa yang menggoda dan rekaan yang kompleks, ianya tidak lagi menjadi rahsia kerana ‘love letter’ terus menjadi biskut turun temurun sehingga ke hari ini.

Bertempat di George Town, Pulau Pinang, terdapat sebuah perniagaan yang menghasilkan biskut tradisional ini.

Bukan sebesar kilang tetapi ‘kedai’ kuih kapit Eng Seng dilimpahi dengan kasih sayang sebuah keluarga. Dari luar, ia tidaklah sebesar mana namun, permintaan pelanggan kadang-kala membuatkan perniagaan keluarga ini tidak cukup tangan.

Ramai pelanggan telah membuat panggilan untuk memesan kuih kapit mereka untuk Tahun Baru Cina berbulan lebih awal. Malah, ada yang telah memesan sejak November lalu agar dapat menikmatinya untuk menyambut perayaan ini.

Anak perempuan sulung Saik (kiri) sedang memasak kuih kapit sementara Saik menghantar setin kuih kapit kepada pelanggan.

Setiap kali Tahun Baru Cina, Eng Seng mempunyai senarai pelanggan yang panjang sehingga kedai mereka terpaksa menghasilkan 1000 hingga 2000 tin setiap kali musim perayaan.

Warga emas yang telah mencubanya mengatakan rasanya begitu asli hingga sekali gigitan membuatkan mereka terkenang zaman muda dahulu.

Apabila melalui Lebuh Presgrave dan deretan rumah-rumah warisan, aroma kelapa dan arang memenuhi ruang sambil kedengaran bunyi acuan besi berlaga antara satu dengan lain.

Menantu Saik (kiri), anak perempuan bongsunya, Ai Yin (tengah) dan pekerjanya (kanan) sedang membuat kuih kapit.

Dari dekat, kelihatan dua wanita sedang membakar Kuih Kapit Eng Seng di hadapan kedainya. Tangan mereka begitu pantas mengalihkan setiap acuan sambil menjaga bara dari arang hingga biskut tersebut masak sempurna.

“Mengawal api adalah bahagian paling penting dan caranya adalah dengan mendapatkan masa yang betul,” ujar Saik Wai Fong, wanita berusia 60 tahun ini kepada FMT.

Menurut isteri kepada Quah Eng Seng iaitu pemilik kedai tersebut, walaupun kedai mereka baru saja beroperasi pada 2003, resepi kuih kapit itu adalah asli dari ibu Saik dan ia telah berusia lebih dari 40 tahun.

Saik sedang mengambil pesanan dari pelanggan lamanya.

“Menjaga api adalah perkara yang sangat sukar kerana anda perlu mengikut rentak kelajuan bara api tersebut dan apabila api menyala laju, anda harus bekerja lebih pantas.

“Jika masanya tidak sama, maka biskut tersebut akan mudah hangus dan tidak boleh dimakan,” ujarnya lagi.

Saik yang telah membuat ‘love letter’ ini sejak kecil lagi, berkata aktiviti membakar kuih kapit sememangnya menjadi aktiviti keluarga yang menyatukan mereka dan hingga ke hari ini, tradisi itu diteruskan.

“Saya tidak akan boleh menjalankan perniagaan ini sekiranya mereka tidak membantu,” kata Saik dan mereka itu adalah kedua-dua anak perempuannya, isteri anak lelakinya dan seorang pekerja yang telah bersama mereka sejak sekian lama.

“Mereka telah membantu saya lebih dari 10 tahun dan anak perempuan bongsu saya telah membuat kuih ini sejak dia berusia 10 tahun lagi,” katanya.

Adunan tepung disira pada acuan sebelum dibakar.

Sambil itu, kelihatan bagaimana kuih kapit dibuat. Dari adunan tepung disira ke acuan, dikapit semula acuan tersebut dan dibakar pada bara arang.

Beberapa minit kemudian kuih kapit sedia dimasak dan dikeluarkan dari acuan dan terus dilipat menjadi kepingan kuih kapit rangup berwarna keperangan, sedia untuk dimakan.

Menggunakan cara tradisi, kuih kapit dibakar menggunakan arang.

Sememangnya, tangan yang membuat kuih tradisi ini begitu pantas dan terserlah pengalaman masing-masing menjadikan mereka begitu pakar.

“Setiap kali kami membuat kuih kapit ini bersama-sama, kami akan sentiasa bergelak ketawa terutama bila anak perempuan (goddaughter) saya datang dan dia sering gagal membuat ‘love letter’ ini. Ia menjadikan kami berterusan ketawa melihatnya,” kata Saik sambil ketawa.

“Membuat ‘love letter’ ini, dipenuhi dengan keriangan dan kami sentiasa bergembira membuatnya”, ujarnya lagi.

Walaupun Tahun Baru Cina kali ini tidaklah semeriah dahulu dan tidak dapat meraikan bersama-sama keluarga yang jauh namun anda tidak perlu lagi menghubungi keluarga tersayang menggunakan ‘love letter’ ini. Terima kasih kepada teknologi moden kini.

Jadi, anda juga boleh meninggalkan mesej kepada yang tersayang di Tahun Baru Cina ini dengan menghantar setin ‘love letter’ ke hadapan pintu rumah mereka.

Eng Seng Kuih Kapit
30, Gat Lebuh Presgrave,
3rd Road, 10300 George Town,
Pulau Pinang

Waktu beroperasi:
9am – 7pm (Isnin – Sabtu)
1pm – 7pm (Ahad)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.