
R. Praviin, 20, telah melakukan kerja-kerja amal sejak di bangku sekolah lagi dan kini dia telah mengambil inisiatif mewujudkan ‘Food Bank’ menggunakan duit poketnya sendiri di Port Dickson bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.
Anak kelahiran Port Dickson ini berkata, projek berkenaan telah dimulakannya sejak empat tahun lepas ketika masih menuntut di tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini.
“Semuanya bermula apabila saya terkesan dengan nasib rakan-rakan sekolah yang datang dari keluarga susah. Sejak itu dengan bantuan guru, saya mula membantu menyumbang makanan asas seperti beras, gula, tepung, susu dan minyak masak dari rumah ke rumah,” ujar dermawan muda ini.
Menurutnya lagi, ketika zaman persekolahan, dia dibekalkan duit belanja sekolah RM20 seminggu oleh ayahnya.
“Daripada jumlah itu, saya menyimpan sebanyak RM13 bagi tujuan menderma dan berjaya mengumpul sekitar RM100 hingga RM200 sebulan. Ketika itu, saya hanya mampu membantu 10 keluarga susah yang terpilih di daerah ini.
“Bagi menambah dana, saya juga ada buat kerja sampingan seperti mencuci kereta. Saya tidak mampu membantu dalam skala yang besar, jadi saya buat sekadar mampu dengan misi tidak mahu ada yang berlapar di Port Dickson,” katanya kepada Bernama.
Bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat pada masa akan datang, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata setakat ini dua ‘Food Bank’ telah berjaya diwujudkannya iaitu di Batu 9, Teluk Kemang dan di Taman Mewah, Jalan Pantai.
“Saya memang suka membantu orang ramai. Saya nak bantu dari segi pendidikan, makanan dan misi saya ingin menjadikan Port Dickson satu daripada daerah sifar lapar,” katanya dan menambah inisiatifnya itu turut disokong keluarga.
Praviin yang kini bekerja di kedai membaiki penyaman udara milik bapanya yang terletak di Batu 9 Teluk Kemang di sini turut mengalu-alukan sumbangan pihak lain bagi membantu mereka yang susah.
Dia yang kini menerima upah sebanyak RM1,000 sebulan telah memperuntukkan sebanyak RM400 bagi keperluan ‘Food Bank’ yang dilaksanakannya.
“Setakat ini inisiatif yang saya lakukan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat dan mereka yang memerlukan.
“Saya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang ingin tampil menghulurkan bantuan, boleh menghubungi talian 017-3234033,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]