
Ramai yang tiada masalah berlindung di dalam rumah, dengan stok makanan serta semua keperluan serba mencukupi. Namun, bagaimana pula dengan golongan yang sememangnya mengalami kesukaran hidup?
Bagaimana dengan golongan gelandangan, atau yang mempunyai anak dan warga emas – mampukah mereka meneruskan hidup sedangkan pendapatan harian kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang lebur begitu saja bila pandemik membelenggu?
Di sinilah peranan Need to Feed the Need (NFN), dapur amal berpangkalan di Medan Tuanku yang mengagihkan makanan dan keperluan asas lain sejak 2013.
Sebelum pandemik melanda, kumpulan ini sering dilihat menyediakan makanan untuk kira-kira 400 orang dengan memastikan mereka mendapat hidangan panas setiap malam Jumaat tanpa mengenal penat jerih.

Ketua operasi luar NFN, Adora Yusof yang juga seorang peguam memberitahu FMT, sebaik PKP dilaksanakan pihaknya tidak dapat keluar mengedarkan makanan seperti biasa, jadi NGO itu mendapat ilham untuk menyediakan makanan menerusi perjanjian bersama restoran mamak, MMZ Bistro.
“Malangnya pihak berkuasa menghimpunkan pula gelandangan ini dan meletakkan mereka di tempat perlindungan. Jadi kami mula menghantar pula makanan ke lokasi berkenaan, tetapi hanya sekali sehari. Itulah sarapan, makan tengah hari, minum petang, dan makan malam buat mereka,” katanya.
Menurut Adora, NFN menyediakan kira-kira 500 hingga 600 bungkusan makanan setiap hari, namun ini bererti perbelanjaan mereka juga terpaksa bertambah sehingga lima kali ganda.
Namun, pasukan ini tetap gigih malah dapat menambah pengagihan makanan kepada dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Bagaimanapun buat masa ini kami kembali melakukannya hanya pada Khamis kerana semakin kehabisan wang akibat PKP pertama. Dua pertiga perbelanjaan kami semuanya dihabiskan untuk makanan.”

Namun katanya, syif hari Selasa sekadar ditukar lokasi ke dapur amal lain supaya pengunjungnya masih boleh terus mendapat bekalan makanan.
Selain dana yang semakin berkurangan, Adora juga bimbang memikirkan jumlah kes Covid-19 yang meningkat di Malaysia kerana risau ini akan menjejaskan lagi kumpulan yang memang sudah sedia terpinggir ini, dari segi mental serta emosi memandangkan wang semakin sukar didapati apatah lagi susah untuk mendapat pekerjaan.
“Kebanyakan pengunjung kami tidak bekerja kerana melakukan kerja rencam, termasuk mengutip besi buruk, dan tidak kurang juga yang mungkin bertugas sebagai pengawal keselamatan atau juruteknik yang kehilangan kerja.
Dia risau kekurangan wang akan memaksa mereka terjerumus ke arah tindakan negatif, dan menambah jumlah kes keganasan rumah tangga yang meningkat ketika PKP pertama.

“Itu kes yang diketahui, bagaimana pula dengan yang sebaliknya? Sebelum pandemik sekalipun, keganasan rumahtangga kerap berlaku namun semakin teruk dengan ketegangan dan kekurangan wang dialami dalam keadaan sekarang.”
Hati lembutnya tersentuh apabila memikirkan keluarga yang mempunyai anak, yang dikhuatiri kekurangan keperluan asas penting terutama dengan pelaksanaan pembelajaran dalam talian.
“Saya percaya ramai daripada mereka tiada akses komputer atau komputer riba, bererti kanak-kanak ini tidak dapat mengikut pembelajaran dan seterusnya pembelajaran mereka berkemungkinan terabai.
“Ini antara masalah pembelajaran dalam talian kerana seseorang memerlukan sekurang-kurangnya telefon pintar dan, lebih penting lagi, data,” katanya.
Dia menceritakan bagaimana kanak-kanak beratur dengan sabar menunggu makanan, dan yang sulung antara adik-beradik selalunya mewakili kesemuanya.
“Semuanya sopan belaka, rata-rata mereka turut bertanyakan khabar saya kerana pada mereka, pengagihan makanan tidak ubah seperti acara sosial dan kami lebih dianggap seperti kawan,” kata Adora, terharu.

Selain mengagihkan makanan, NFN juga memberikan kereta sorong terpakai, malah Adora berkata mereka mempunyai senarai orang yang memerlukannya.
“Saya melihat anak-anak ini membesar di depan mata. NFN bukan saja melakukan kerja amal mengagihkan makanan, malah juga menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Kami berpeluang menyaksikan bagaimana mereka membesar dan turut menjadi sistem sokongan golongan ini.
Buat masa ini, Adora menjelaskan NFN melancarkan kempen derma kerana dana yang ada semakin susut, dan pihaknya masih mahu membantu golongan memerlukan ketika PKP kali kedua ini.
“Kami sentiasa memegang pada azam untuk memberikan hidangan makanan mencukupi untuk pengunjung kami. Ini merangkumi sumber protin, sayur, nasi dan sebotol air. Kosnya kira-kira RM6.50 seorang dan lazimnya kami memberikan ayam kerana rata-rata diterima semua orang.
“Saya menyertai kumpulan ini tiga atau empat tahun lalu, dan apa yang mendorong kami semua adalah bagaimana kami juga sudah menjadi sebahagian daripada komuniti ini. Mungkin kehidupan kami tidak terdesak seteruk mereka, namun pada satu peringkat dalam hidup, kami juga pernah merasai kesusahan,” katanya.

Untuk terus membantu usaha NFN semua sumbangan berbentuk wang boleh didermakan kepada:
8008 651 300 (CIMB)
Persatuan Memberi Kepada Yang Memerlukan
Anda juga boleh menghubungi mereka menerusi akaun Facebook atau Instagram untuk maklumat lanjut.
Percayalah, sedikit manapun bantuan dihulurkan pasti membantu mereka yang memerlukannya!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]