Green Monday galak rakyat Malaysia selamatkan dunia dengan makan daging organik

Green Monday galak rakyat Malaysia selamatkan dunia dengan makan daging organik

Diasaskan oleh David Yeung, Green Monday sasar untuk menggalakkan rakyat Malaysia amalkan diet berasaskan tumbuhan demi kepentingan alam sekitar.

OmniMeat adalah daging alternatif berasaskan tumbuhan yang mengekalkan bentuk dan rasa daging biasa. (Gambar Green Monday)
PETALING JAYA:
Tidak dapat dinafikan, Malaysia yang cukup terkenal dengan jolokan syurga makanan di Asia Tenggara, terdiri dari mereka yang sangat menggemari diet berasaskan daging.

Setiap hari, dari ayam panggang, ikan kukus, kari kambing hingga kepada burger daging lembu, semua hidangan enak ini menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Namun, harga yang perlu dibayar semata-mata untuk memuaskan selera manusia ini cukup mahal, hinggakan ia mampu menggugat kelestarian alam.

Dengan aktiviti manusia yang tiada berkesudahan, bumi kini diambang krisis iklim yang tidak menentu.

Setakat ini, jejak karbon kesan dari kerakusan industri daging tidak dapat diabaikan lagi dan sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaikinya.

Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa, agak sukar bagi masyarakat melupakan terus pengambilan daging walaupun mereka turut serta memainkan peranan dalam menyelamatkan bumi ini.

OmniMeat Luncheon adalah satu daripada tiga produk yang akan dipasarkan di Malaysia. (Gambar Green Monday)

Tetapi bagaimana jika anda dapat menyelamatkan dunia tanpa kehilangan satu pun nikmat dalam kehidupan?

Di sinilah peranan OmniMeat, alternatif berasaskan tumbuhan yang memiliki keenakan rasa daging sebenar bakal mengubah kualiti hidup anda.

Produk berasaskan tumbuhan ini mula diperkenalkan di sini pada 11 Jan lalu melalui majlis pelancaran secara maya yang dipengerusikan oleh pengasas Green Monday, David Yeung.

Green Monday adalah platform advokasi yang pernah memenangi anugerah serta diiktiraf kerana kelantangannya ‘mengganggu’ industri daging dan mendorong ke arah kelestarian dengan alternatif makanan berasaskan tumbuhan.

Untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu iklim, Green Monday turut menggalakkan masyarakat memainkan peranan mereka di muka bumi ini untuk tidak memakan daging sekurang-kurangnya sehari setiap minggu.

Yeung memulakan Green Monday sebagai satu gerakan sosial sembilan tahun lalu di Hong Kong, setelah mendapat inspirasi dari kempen American Meatless Monday.

Sering mendapat liputan daripada media gergasi seperti BBC, Bloomberg, CNN dan Reuters, ternyata usaha Green Monday tidak sia-sia.

Menerusi pengenalannya, kita akan dapat melihat produk OmniMeat di rak pasar raya di AEON terpilih, Jaya Grocer, Village Grocer, Oliver’s Gourmet dan Ben’s Independent Grocer.

Jadi, bagaimana OmniMeat Mince, OmniMeat Luncheon dan OmniMeat Strip setanding dengan keenakan daging sebenar?

Menariknya, dari segi rupa bentuk dan rasa, ia hampir sama, jadi anda tidak perlu bimbang akan kehilangan nikmat sebenar daging sebaliknya beralih kepada sesuatu yang lebih sihat.

Hidangan Luncheon Ham dan Cheese Tart yang enak oleh Kenny Hills Bakers adalah contoh pastri yang dibuat menggunakan OmniMeat. (Gambar Kenny Hills Bakers)

Semasa majlis pelancaran, Yeung berkata, sudah sekian lama pihaknya dihujani pertanyaan dari rakan-rakan di Malaysia dan akhirnya, kami dengan bangga mengatakan bahawa OMNI kini tiba di Malaysia.

“OmniMeat disahkan Halal, jadi ia adalah produk makanan inovatif yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Ia benar-benar memenuhi visi kami untuk menyajikan makanan berasaskan tumbuhan yang lazat dan berkhasiat kepada sesiapa saja tidak kira latar belakang kepercayaan, budaya mahupun keperluan diet,” ujarnya

Sekiranya anda ingin tahu bahan yang terdapat di dalam pengganti berasaskan tumbuhan ini, ia sebenarnya adalah campuran protin dari kacang polong, kacang soya, cendawan shiitake dan beras.

OmniMeats boleh dimasak dan digunakan untuk pelbagai hidangan, seperti burger oleh Botanica + Co ini. (Botanica + Co pic)

Memandangkan daging berasaskan tumbuhan semakin mendapat perhatian, Yeung berharap masyarakat dapat mempertimbangkan untuk mencuba lebih banyak daging berasaskan tumbuhan dalam makanan mereka.

Untuk itu, Green Monday telah bekerjasama dengan Botanica + Co dan Nourish oleh Kenny Hills Bakers, di mana kedua-duanya akan menghidangkan menu menggunakan OmniMeat.

Sekiranya masih ragu-ragu bahawa OmniMeat boleh dimasak dan dimakan seperti daging biasa, hidangan mi, snek, burger dan spageti di kedua-dua syarikat ini mungkin boleh dijadikan sumber inspirasi.

Jadi, jika anda ingin menyelamatkan bumi tanpa perlu melepaskan nikmat keenakan daging sebenar, OmniMeat sememangnya pilihan terbaik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.