
Syarikat yang beroperasi di Subang Jaya itu, melakukan inisiatif berkenaan menerusi jenama telekung Zaahara dengan kerjasama Persatuan Sukarelawan Membantu Ibu Tunggal (SURI), yang dilaksanakan bulan ini sehingga Dis depan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Zaahara Anas Pawan Chik berkata bagi tujuan tersebut, pelanggan Zaahara di sekitar Lembah Klang boleh menukar telekung lama mereka untuk mendapatkan 10 peratus diskaun, bagi pembelian produk baharu atau membuat serahan tanpa sebarang pembelian.
Telekung itu kemudiannya akan diserahkan kepada pihak SURI untuk diagihkan kepada 40 orang ibu tunggal di bawah naungannya, untuk dijadikan produk baharu iaitu beg telekung di bawah jenama Zaahara.
“Produk ini akan dipasarkan semula sekali gus membantu ibu-ibu tunggal tersebut menjana pendapatan tambahan yang dianggarkan sebanyak RM3,750 sehingga RM7,000.
“Setiap ibu tunggal akan membuat 375 beg telekung, di mana anggaran sebanyak 15,000 beg telekung dapat dihasilkan sepanjang projek ini berlangsung,” katanya kepada Bernama menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Anas berkata projek seumpama ini telah lama popular di negara barat di mana pakaian-pakaian lama diubah suai menjadi produk baharu seperti beg, kain lap dan sebagainya.
“Inisiatif ini terhasil daripada idea pelanggan kami, apabila mereka memberikan telekung terpakai mereka untuk mendapatkan telekung terbaharu keluaran kami. Maka bermula dari situ, kami merancang untuk mengitar semula telekung-telekung terpakai tersebut, menjadi produk yang boleh diguna semula.
“Semoga dengan wujudnya projek seumpama ini bukan sahaja dapat membantu ibu-ibu tunggal menjana pendapatan tambahan, malah mampu mendidik masyarakat kita untuk memanfaatkan barangan terpakai, khususnya pakaian solat untuk dijadikan barangan baharu yang lebih baik,” katanya.
Anas berkata sebagai jenama telekung pertama yang melaksanakan projek ini, beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada pemilik jenama lain untuk sentiasa kreatif dalam mempelbagaikan variasi produk.
Zaahara merupakan jenama telekung dan barangan solat yang cukup dikenali dengan produk telekung ‘kembara’ atau telekung peribadi dalam kalangan pengguna wanita yang berusia 25 hingga 40 tahun, yang bekerjaya dan sering melancong atau bekerja luar.
Zaahara juga merupakan salah satu jenama yang menyertai Program Tranformasi Perniagaan (BIT) Perbadanan Nasional Berhad, iaitu program transformasi usahawan kecil untuk menjadi lebih berdaya saing dan dibangunkan ke arah francais.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]