
Malah, tugas mereka turut terlibat dalam misi menyelamat ketika keadaan banjir, operasi mencari di dalam hutan dan terkini memimpin operasi menangani virus Covid-19.

“Ramai yang berfikir tugas anggota bomba hanyalah untuk memadam kebakaran tetapi sebenarnya ia lebih luas.
“Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hamzat) melakukan pembasmian virus Covid-19, PPDA atau Unit Penyelamat Air, menangani insiden dan kecemasan yang berlaku di dalam air dan juga operasi menyelamat,” kata Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Saiful Munir.
Dia adalah anggota Pasukan Operasi dan Penyelamat Taktikal Khas Malaysia (STORM) sebuah unit elit pasukan bomba yang menangani kecemasan seperti tanah runtuh dan operasi menyelamat.

Menurut Saiful, mereka harus mematuhi Petunjuk Prestasi Utama atau KPI yang juga mengkehendaki anggota bomba meninggalkan ruang enjin dalam masa 60 saat apabila penggera berbunyi yang menandakan keadaan kecemasan.
“Kami harus meninggalkan ruang enjin dalam masa 60 saat kerana api hanya perlukan masa empat minit untuk dipadamkan,” kata Saiful sambil menambah bahawa ini bermakna setiap anggota bomba harus sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia apabila bertugas di stesen.
Jelasnya lagi, anggota bomba tidak dapat meramalkan jenis keadaan darurat yang akan mereka hadapi, jadi bertindak balas dengan segera terhadap loceng penggera adalah kemahiran yang paling penting untuk dimiliki.

Menurut Saiful walaupun pasukan Hazmat yang dilatih khusus untuk menangani masalah pembasmian kuman korona virus, namun anggota bomba lain juga harus berhati-hati ketika menghadapi keadaan darurat. Ini kerana tiada siapa tahu samada mangsa yang diselamatkan bebas Covid atau tidak.
“Kami pernah dipanggil untuk memusnahkan sekumpulan lebah dari sebuah rumah. Walau bagaimana pun tiga daripada penghuni telah didiagnosis oleh Kementerian Kesihatan sebagai positif Covid-19 dan empat lagi sedang menunggu calitan kedua mereka.
“Jadi kami terpaksa memakai pakaian peralatan pelindung diri semasa berurusan dengan lebah kerana ia adalah tugas kami untuk memberi bantuan kepada mereka. Bohonglah jika saya katakan tidak mempunyai sedikit pun rasa takut dalam diri kerana kami sendiri mempunyai keluarga di rumah,” katanya lagi.

Bagi Saiful, kesemua anggota bomba bagai sebuah keluarga. Sekiranya operasi yang dilakukan berisiko tinggi, maka kesemua ahli dalam pasukan tersebut haruslah bersatu hati terhadap perancangan yang akan dilakukan. Jika terdapat sebarang keraguan dari walau seorang ahli pun, mereka akan berkumpul dan berbincang untuk memastikan ketakutan setiap kru dapat diselesaikan.
“Contohnya tragedi Oktober di mana kita kehilangan enam anggota. Ahli terapi terkejut apabila mengetahui ikatan antara kami sangat kuat,” kata Saiful.

Sekiranya anda ingin menjadi ahli bomba, anda harus bersiap sedia untuk bekerja keras sepanjang hidup anda.
Nazrin Gabra, 29, yang telah menjadi ahli bomba selama sembilan tahun mengatakan bahawa dia harus melalui satu sesi ujian kecergasan yang ketat seperti mengangkat berat 54kg dan menaikkan tangga bomba.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran besar setiap hari, ada juga kejadian lucu yang dihadapi mereka.

Nazrin menceritakan saat mereka menerima panggilan panik dari seorang lelaki yang mengatakan isterinya terperangkap di rumah. Bergegas ke tempat kejadian, anggota bomba mendapati wanita itu hanya mengurung diri di bilik tidur kerana pasangan ini bertengkar sebelumnya.
“Kami pernah mendapat panggilan tentang ular orok-orok (rattlesnake) di dalam akuarium. Kami pun bersedia untuk menghadapi kejadian yang lebih buruk. Ketika sampai di sana, rupanya ia hanya kuda laut hitam,” katanya.
“Satu lagi kejadian yang melucukan ialah panggilan tentang ular yang ada di belakang mesin basuh. Kami pun bersedialah untuk menghadapi saat-saat cemas menangkap reptilia ini tetapi apa yang kami jumpa hanya sepasang seluar dalam berwarna hitam,” ujar Nazrin sambil tergelak.
Malah, ada juga yang menghubungi mengatakan ada “naga” di dalam rumah tetapi sebenarnya ia hanyalah anak biawak.
Menurut Nazrin lagi, terdapat banyak insiden mendebar dan melucukan, namun itulah kehidupan anggota bomba.

“Tetapi walau apa pun kejadian yang kita hadapi, setelah menyelesaikan tugasan, senyuman kelegaan yang dilemparkan oleh pemanggil adalah satu kepuasan bagi kami,” kata Nazrin sambil tersenyum.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]