
Muaz yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tahun lepas kini bekerja di sebuah syarikat pengiklanan terkenal negara berkata, “Ini adalah projek berskala besar saya yang pertama. Saya dan ahli pasukan membuat perancangan rapi dari segi penghasilan idea, kajian populasi haiwan dan dalam masa yang sama menerapkan kesedaran rakyat tentang haiwan Malaysia yang terancam dalam bentuk dan stail ‘pop art’.
“Idea itu dihasilkan oleh Pengurus Besar Pemasaran syarikat Nismanita Zulkifli manakala penyelidikan dan penyunting naskhah oleh Jim Yussuf Jasmy. Tugas saya pula perlu menggambarkan kesemua 12 haiwan itu untuk dipaparkan pada KLCC Snorkels (nama format papan iklan).
“Ada 12 ekor haiwan yang perlu saya siapkan dalam bentuk visual pop art yang setiap seekor haiwan mengambil masa tiga hari untuk disiapkan sebelum semuanya berjaya dilaksanakan dan dinamakan Ilustrasi Haiwan Malaysia,” katanya lagi.
Menurut Muaz, sebelum menghasilkan sesuatu karya seni, beberapa perkara perlu dipatuhi seperti penggunaan bahasa yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, elak perkataan meleret dan pemilihan visual yang tidak melanggar undang-undang.
Muaz berkongsi kejayaan itu di laman Twitternya menerusi satu ciapan video sehingga tular dan berjaya menarik perhatian ribuan warga Twitter yang kagum dengan hasil karyanya dalam memberi kesedaran kepada orang awam berkenaan haiwan terancam di negara ini.
“Saya terus buat panggilan video kepada mak saya, tunjuk hasil seni yang disiapkan. Saya terlalu gembira sampai menjerit sebab tidak percaya hasil ini dipilih syarikat untuk dipamerkan. Semua ini tidak akan berjaya tanpa usaha dan doa semua pihak terlibat,” katanya yang baru tamat tempoh percubaan pada Julai dengan syarikat berkenaan.
Beliau berkata hasil seni itu akan terus dipamerkan di kawasan tumpuan pusat beli-belah ibu kota itu untuk sementara waktu sehingga terhasilnya hasil seni daripada pihak lain dan kejayaan ini akan membakar semangatnya untuk terus menghasilkan karya lebih menarik dan interaktif untuk dikongsi bersama masyarakat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]