
Tidak dinafikan, keindahan alam semulajadi menjadi salah satu sumber inspirasi terbaik buat karyawan untuk menonjolkan kreativiti masing-masing.
Begitu juga dengan seorang pelukis ilustrasi profesional di United Kingdom yang menghasilkan lakaran menakjubkan dalam sebuah buku nota seolah-olah kelihatan seperti buku ensiklopedia sebenar.
Jo Brown yang juga seorang pencinta alam, mendokumentasikan setiap penemuan menarik dengan membuat lakaran berwarna secara terperinci menerusi buku bertajuk Nature Journals.
Setiap halaman itu mengandungi lukisan serta catatan nota mengenai tumbuh-tumbuhan serta haiwan yang ditemuinya di kawasan luar bandar di Devon, England.
Apa yang menjadikannya buku Nature Journals itu lebih menarik ialah Brown memenuhi ruang halaman dengan ilustrasinya yang begitu sempurna.
“Saya mula menghasilkan jurnal ini kerana ingin mendokumentasikan setiap tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang ditemui. Alam semulajadi adalah salah satu perkara penting dalam hidup saya,” katanya.
Menurutnya, dia tidak perlu mengembara terlalu jauh untuk melihat keindahan seperti itu kerana ia boleh dilakukan hanya dengan sedikit pemerhatian serta sabar.
Ketelitian pelukis itu begitu terserlah apabila dia melakar setiap bahagian yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan, serangga serta spesis burung.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilustrasi dari Falmouth College of Art itu tidak menggunakan terlalu banyak bahan, sebaliknya hanya menggunakan pen dan pensil berwarna untuk menggambarkan subjek yang terperinci.
Ia juga boleh dianggap sebagai ilustrasi saintifik apabila dia sering menghasilkan gambar jarak dekat termasuk telur serangga.
Berdasarkan akaun twitternya, @bernoid, dia banyak memuat naik gambar hidupan alam, serangga dan tumbuh-tumbuhan hingga ada yang menyangkakan dia adalah seorang pakar biologi.
“Saya adalah pelukis ilustrasi profesional, bukannya seorang pakar biologi. Semua orang menyangkakan begitu,” tulisnya di akaun berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]