
SKMM dalam kenyataan berkata, individu berkenaan hadir ke pejabat cawangan Terengganu hari ini untuk dirakam keterangan susulan aduan diterima daripada orang awam.
“Sebuah telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.
“Individu lain yang berkaitan akan dipanggil sekiranya perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya memaklumkan siasatan itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
SKMM menyeru pengguna media sosial lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
“Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.
“Penggunaan ilustrasi tidak tepat khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam,” katanya.
Katanya, amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta secara teliti amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
Terdahulu, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program memaklumkan, pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.
Beberapa pemimpin parti kerajaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap PAS Terengganu susulan kontroversi itu.
Sebelum ini, selain Kementerian Pendidikan dan Sin Chew Daily, akhbar Kwong Wah Yit Poh dan vendor pameran dari Singapura turut dilaporkan memaparkan imej Jalur Gemilang silap, mendorong pelbagai pihak menuntut tindakan tegas diambil.