
Kentang goreng memang sedap dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama sos.
Membuat kentang goreng juga sangat mudah. Hanya potong memanjang, salutkan bersama sedikit kunyit dan garam kemudian boleh digoreng dengan minyak panas.
Namun, apabila siap dimasak kadang-kala kita kecewa bila kentang yang digoreng tidak seperti yang didambakan. Kentang nampak layu dan berminyak. Situasi ini bukan hanya agak menjengkelkan malah tidak sihat untuk kesihatan.
Tips di bawah mungkin dapat membantu anda menyelesaikan masalah ini.
1. Pastikan minyak benar-benar panas sebelum menggoreng
Memasukkan kentang ke dalam minyak yang belum benar-benar panas akan menyebabkan ia terendam lebih lama di dalam minyak. Ini akan mengakibatkan kentang menyerap lebih banyak minyak sebelum masak sepenuhnya.
Sebaiknya masukkan kentang ke dalam minyak apabila minyak sudah benar-benar panas. Dengan ini, kentang tidak perlu digoreng terlalu lama dan tidak akan menyerap minyak.
2. Jangan goreng kentang yang masih beku
Jangan goreng kentang yang masih beku. Ini kerana kentang beku akan memerlukan masa yang lebih lama untuk digoreng. Lebih lama berada di dalam minyak, lebih banyak minyak yang akan diserap.
Oleh itu, pastikan kentang tidak berada dalam keadaan beku sebelum digoreng.
3. Rebus kentang terlebih dahulu
Cara lain untuk memasak kentang goreng agar tidak terlalu menyerap minyak adalah dengan merebusnya dulu. Sebelum digoreng, rebus kentang selama 10 minit dalam keadaan yang sudah dipotong. Kemudian goreng kentang dalam masa yang singkat.
Kentang yang sudah direbus adalah seperti sudah dimasak, oleh itu apabila anda menggoreng tidak perlu mengambil masa yang lama. Jangka waktu menggoreng yang sekejap ini akan mengurangkan penyerapan minyak ke dalam kentang.
4. Memanggang kentang
Satu cara sihat dan mudah adalah dengan memanggang kentang. Walaupun memanggang dan menggoreng adalah dua cara berbeza namun rasanya agak sama.
Caranya, masukkan kentang yang sudah dipotong ke dalam loyang. Taburkan sedikit minyak ke atasnya dan panggang.
Dengan menggunakan cara ini, maka kentang anda akan memiliki rasa yang mirip dengan kentang goreng tetapi tidak menyerap minyak.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]