Bukit Broga, lokasi tren ‘kaki hiking’

Bukit Broga, lokasi tren ‘kaki hiking’

Selain dari tempat mendaki, Bukit Broga juga menjadi tempat kegemaran untuk sesi fotografi terutamanya perkahwinan.

Ketinggian yang sederhana menjadikan ia popular kepada peminat aktiviti pendakian.

Bukit Broga atau dikenali sebagai Bukit Lalang terletak di bahagian Timur Pekan Semenyih. Memiliki ketinggian 400 meter dari paras laut ataupun mencecah sehingga 1,300 kaki, lokasi ini menjadi tren kaki ‘hiking’ tiap kali hujung minggu. Untuk sampai ke sini hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit dari Kuala Lumpur.

Pendakian ke puncak bukit ini dapat memberikan anda panorama indah di kawasan sekitar. Bukit Broga mempunyai 3 buah puncak. Puncak yang pertama menawarkan pemandangan sehingga ke Menara Kuala Lumpur sekiranya tidak dihalangi cuaca.

Dari puncak yang ke-2 pula anda dapat menikmati pemandangan matahari terbit yang cukup indah. Anda dinasihatkan untuk memulakanlah pendakian seawal 6 pagi agar tidak terlepas pemandangan indah tersebut. Pendakian mengambil masa 30 hingga 40 minit.

Di puncak yang terakhir sekali, anda akan menikmati pemandangan yang sungguh mengujakan dari puncak yang tertinggi. Adalah digalakkan untuk memulakan pendakian lebih awal bagi mengelakkan pancaran mentari yang agak terik pada waktu tengahari.

Selain dari tempat mendaki, Bukit Broga juga menjadi tempat kegemaran untuk sesi fotografi terutamanya perkahwinan.

Para pendaki juga diingatkan supaya menjaga persekitaran bukit yang sering dicemari dengan sampah-sarap.

Selepas turun dari Bukit Broga, anda boleh sahaja ke Air Terjun Sungai Gabai yang terletak kira-kira 40 kilometer dari situ.

Bayaran RM2 dikenakan untuk parkir kereta setiap kali masuk.

Alamat: Bukit Broga, Jln Broga, 43500 Semenyih, Selangor.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.