
London: Apakah yang akan terjadi kepada pesakit Covid-19 yang telah sembuh? Apakah mereka benar-benar sembuh sepenuhnya?
Satu laporan pakar mengatakan bahawa kesakitan yang berpanjangan setelah menghidap Covid-19 dikenali sebagai ‘long Covid’. Ia mungkin bukan hanya satu tetapi empat sindrom yang memberi kesan kepada semua bahagian tubuh dan minda.
Menurut Institut Kajian Kesihatan Nasional Britain (Britain’s National Institute for Health Research, NIHR) yang mengeluarkan sebuah laporan awal berkenaan kesan jangka panjang Covid-19 mengatakan terdapat satu persamaan di kalangan pesakit Covid-19 ini. Samada pesakit tersebut menghidap Covid selama 7 bulan atau lebih, simptom yang sama boleh dikesan pada satu bahagian tubuh seperti jantung atau paru-paru. Sebelum ia reda akan muncul pula pada bahagian lain.
Dr Elaine Maxwell, yang mengetuai laporan itu menyatakan bahawa terdapat banyak impak fizikal dan psikologi negatif daripada Covid yang berpanjangan ini.
Beribu orang di dunia telah berhubung melalui platform media sosial dan forum dalam talian. Mereka berkongsi pengalaman tentang kesan Covid-19 yang berpanjangan ini. Sesetengahnya menggelar diri mereka sebagai “long hauler” manakala ada yang memanggil kondisi mereka sebagai “long Covid”.
Menurut LongCovidSOS, sebuah kumpulan pesakit dari Amerika Syarikat, mengatakan data daripada aplikasi pengesan simptom yang dirangka oleh King’s College London menunjukkan 10% daripada pesakit Covid-19 masih tidak sihat selepas tiga minggu, manakala 5% daripada mereka masih lagi sakit setelah berbulan-bulan.
Dr Maxwell, yang telah pun membentangkan penemuan ini dalam laporan “Living with Covid “ (Hidup Bersama Covid) melalui sebuah sidang taklimat media dalam talian, turut menyatakan bahawa pusat kesihatan pada hari ini sedang bergelut untuk menguruskan corak simptom dan permasalahan baharu ini
Selain itu, Dr Maxwell dan rakan-rakan penulisnya juga meminta pesakit dan doktor untuk merekodkan simptom yang ada supaya para penyelidik kesihatan dapat memahami kondisi pesakit dan mencadangkan cara terbaik untuk membantu pesakit. Data yang lebih banyak perlu dikumpulkan untuk membantu lebih ramai pesakit.
Untuk laporan awal ini, pasukan Dr Maxwell telah pun mengadakan kumpulan berfokus seramai 14 orang di Facebook yang dinamakan Long Covid.
Testimoni mereka telah mengusulkan bahawa Covid jangka panjang mungkin mempunyai kitaran tersendiri dengan simptom yang berubah-ubah dari tahap teruk dan pergerakan sekitar badan termasuklah pada sistem respiratori, otak, sistem kardiovaskular dan jantung, buah pinggang, hati, usus, dan kulit.
Laporan turut menyatakan bahawa hal ini dialami oleh ramai pesakit Covid jangka panjang yang datangnya dari berbagai rangka usia dan latar belakang.
Dr Maxwell juga menggesa untuk segera menetapkan diagnosis yang diakui oleh pakar kesihatan, majikan, dan agensi kerajaan untuk membantu pesakit mendapat sokongan.
“Penyakit ini adalah penyakit baharu dan kita sedang cuba memahami impaknya dengan lebih mendalam. Kita akan cuba menyediakan khidmat yang lebih baik untuk membantu pesakit Covid berpanjangan. Lebih-lebih lagi, apabila terdapatnya bukti-bukti yang menunjukkan bahawa terdapat impak psikologi dan sosial yang signifikan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]