Bermula hobi, Nabihah kini pengusaha produk daging arnab sejuk beku

Bermula hobi, Nabihah kini pengusaha produk daging arnab sejuk beku

Beliau yang membela arnab secara suka-suka sejak 2016 itu mendapat idea untuk menjana pendapatan setelah melihat arnabnya semakin membiak.

Permintaan produk berasaskan daging arnab semakin meningkat saban hari. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Bermula sebagai hobi ‘suka-suka’, Nabihah Abidin, 30 akhirnya menjadikan hobi membela arnab sebagai satu perniagaan dengan mengeluarkan pelbagai produk hiliran berasaskan daging haiwan berkenaan pada 2018.

“Saya membela arnab secara suka-suka sejak 2016. Tetapi apabila melihat ia semakin membiak kemudian datang idea untuk menjana pendapatan,” jelas usawahan tani ini.

Nabihah berkata setiap bulan kira-kira 200 kilogram (kg) daging arnab akan diproses bersama kakitangan di kilangnya di Melaka Halal Hub di sini, bagi menghasilkan pelbagai jenis produk sejuk beku berasaskan arnab seperti daging perap, bebola daging, sate, serunding dan sebagainya.

Produk makanan sejuk beku berasaskan daging arnab dilihat agak jarang ditemui di pasaran, namun ia mula mendapat tempat bagi orang ramai yang gemar mencuba sesuatu baharu. Dia juga mengakui permintaan produk itu kian meningkat saban hari.

“Pada mulanya saya memelihara arnab melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM50,000 di Kampung Lubuk Kasau, Bemban yang kini ditutup sementara bagi proses naik taraf. Jadi sekarang, saya usahakan ternakan arnab ini di ladang seluar 0.4 hektar di Kampung Cempedak, Kuang, Selangor,” katanya.

Menurut Nabihah, terdapat lebih 300 ekor arnab induk yang diternak iaitu arnab pedaging baka New Zealand White dan Californian serta arnab hias baka Minirex dan Netherland Dwarf. Seekor arnab boleh disembelih selepas tempoh 35 hari setelah diceraikan susu, sehingga mencapai umur matang 100 hari.

Buat sesetengah orang, daging arnab mungkin agak janggal tetapi kepada yang sudah biasa memakannya, akan dapat membezakan rasa antara arnab dan ayam. Ini kerana daging arnab lebih kenyal berbanding ayam.

“Daging arnab mempunyai sumber protein yang tinggi dan kurang lemak selain dipercayai baik untuk ibu hamil dan bagus untuk merawat penyakit asma,” katanya menambah selain menjual produknya sendiri, beliau turut menyertai program jualan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain dijual dalam talian.

Nabihah berkata semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakn pada Mac lepas, permintaan produknya meningkat kerana ada yang suka mencuba makanan yang pelik ketika berada di rumah sepanjang hari dan sehingga kini, beliau bersyukur kerana produk sejuk bekunya semakin mendapat perhatian masyarakat.

Wanita berasal dari Kuala Lumpur itu berkata beliau turut mendapat bantuan peralatan pemprosesan makanan ternakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka selain bantuan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan turut menerima Geran Khas Prihatin (GKP).

Sememangnya, usaha keras wanita ini boleh dibanggakan apabila diiktiraf sebagai antara 10 individu Ikon Agro Selangor. Bagi Nabihah, pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat buatnya untuk berusaha lebih keras dan meluaskan lagi pasaran dan pengeluaran produknya pada masa hadapan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.