Pulangkan arnab saya

Pulangkan arnab saya

Arnab terbesar di dunia, pemegang rekod Guinness World Record dilaporkan dicuri pada Sabtu lepas.

Edwards menawarkan ganjaran berjumlah £1,000 kepada sesiapa saja yang berjaya menemui arnab tersebut. (Gambar Facebook)

Seekor arnab terbesar dunia yang pernah diiktiraf dalam Guinness World Record pada 2010 dilaporkan dicuri dari rumah pemiliknya di Worcestershire, England, minggu lepas.

Arnab yang pernah mencuri perhatian dunia apabila mempunyai badan berukuran 129 sentimeter panjang itu dipercayai hilang pada Sabtu lalu di taman pemiliknya di Stoulton.

Kehilangan haiwan kesayangan milik Annette Edwards bernama Darius itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Menurut Edwards, dia menawarkan ganjaran berjumlah £1,000 (RM5,687) kepada sesiapa saja yang berjaya menemui arnab terbabit.

Dia turut menggunakan akaun Twitter untuk merayu kepada orang ramai supaya memulangkan Darius kepadanya.

“Tolong, tolong saya sungguh sedih. Bolehkah anda memulangkan Darius saya semula?” tulis Edwards.

Katanya, tidak guna untuk melarikan arnab itu memandangkan ia sudah lanjut usia untuk membiak.

Sementara itu, jurucakap polis West Mercia berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil kepada pihak berkuasa.

“Arnab yang pernah diiktiraf dunia ini dipercayai dicuri di kawasan taman rumah pemiliknya antara hari Sabtu hingga Ahad.

“Mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil kepada pihak berkuasa,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected] 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.