
Seperti yang kita sedia maklum, bulan Ogos ialah bulan kemerdekaan bagi negara kita, Malaysia. Tidak lama lagi kita akan menyambut hari kebangsaan yang jatuh pada tanggal 31 Ogos 2018.
Pada waktu seperti ini, pasti kita akan terkenang mendengar lagu-lagu patriotik. Di sekolah-sekolah, lagu-lagu patriotik ini pasti akan berkumandang untuk menanam semangat cintakan negara kepada pelajar sekolah.
Pada masa sekarang pun, lagu-lagu patriotik masih lagi ditayangkan dan diperdengarkan di televisyen untuk menyemai rasa cinta rakyat Malaysia terhadap negara kita yang tercinta ini.
Ada pelbagai lagu patriotik di negara ini, namun,hanya beberapa sahaja yang terbaik dan masih didengari sehingga ke hari ini.
Oleh itu, pada hari ini, kami ingin kongsikan kepada anda semua 5 lagu patriotik yang masih didengari dan menjadi pilihan semasa sambutan hari kebangsaan.
Perwira
Perwira…
Dikaulah harapan hati
Penghibur kala sunyi
Pergilah berbakti
Membela pertiwi
Perwira…
Janganlah kekanda bimbang
Untuk pergi berjuang
Andainya kau gugur
Jasamu dikenang
Dengarlah lagu ku cipta
Gubahan mesra nan manja
Sebagai ganti diri
Bersama kau berbakti
Untuk ibu pertiwi
Kekanda di medan perang
Adinda di medan seni
Sama-sama berjuang
Sama-sama berbakti
Semoga tabah hati
Majulah kekanda maju jangan undur
Dinda mohon doa restu
Rela sehidup semati bersamamu
Perwiraku
Ulasan : Lagu ini menjadi pilihan kerana bukan sahaja rentaknya sedap didengar malah liriknya juga menarik. Lirik ini menceritakan tentang pengorbanan seorang isteri yang sanggup merelakan suaminya pergi berjuang untuk mempertahankan negara. Tambahan pula, lagu ini dinyanyikan oleh Biduanita Negara iaitu Puan Sri Saloma.
Setia
Demi negara yang tercinta
Di curahkan bakti penuh setia
Demi raja yang disanjung tinggi
Kesetiaan tak berbelah bagi
Kepada pemimpin kepada rakyat
Khidmat diberi penuh taat
Sama bekerja sama berusaha
Setia berkhidmat untuk semua
Rela berkorban apa saja
Amanah bangsa tetap dijaga
Kami berikrar penuh setia
Untuk agama, bangsa dan negara
Ulasan : Lagu ini sangat bersemangat untuk didengari walaupun rentaknya mendayu-dayu kerana lagu ini bukan sahaja mengajak rakyat supaya taat setia kepada Raja-Raja yang menjadi payung negara malah terus memberi khidmat bakti kepada negara supaya negara boleh terus maju dan berjaya.
Sejahtera Malaysia
Puji dan syukur pada Ilahi
Anugerahnya tiada terhingga
Kedamaian kemakmuran
Malaysiaku bahagia
Dengan tekad untuk berjaya
Berbakti pada nusa dan bangsa
Kami junjung cita-cita luhur
Perpaduan seluruh negeri
Seia sekata sehati sejiwa
Menghadapi cabaran
Kami sedia kami setia
Berkorban untuk negara
Bersemarak Malaysia tercinta
Kibarkan panji kebesarannya
Kami rela menjaga namamu
Sejahtera Malaysia
Ulasan : Lagu ini bukan sahaja mengajak rakyat Malaysia supaya bersyukur di atas kemakmuran dan kedamaian yang ada di negara ini, malah terus menabur bakti, menjaga perpaduan sesama kaum, bersatu padu, dan berkorban untuk negara. Semua ini perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia akan kekal sejahtera sampai bila-bila.
Barisan Kita
Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban
Untuk ibu pertiwi
Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti
Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa
Malaysia berjaya
Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti
Ulasan : Selain daripada rentaknya yang penuh semangat perjuangan, lagu ini menceritakan pengorbanan para perajurit negara yang ikhlas berjuang di medan peperangan untuk mempertahankan negara. Mereka sanggup menggadai nyawa mereka sendiri asalkan negara kekal selamat dan berdaulat sampai bila-bila.
Malaysia Oh Tanah Airku
Malaysia oh tanah airku, Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat kucinta, Yang kupuja sepanjang masa
Sawahmu terbentang meluas, Tumbuh-tumbuhan hijau merendang
Bukitmu lurusnya terbentang, Tak jemu mataku memandang
Sungguh indah di Malaysia, Negeri yang kaya raya
Tempat pusat berniaga, Terkenal di seluruh dunia
Malaysia negeriku Malaysia, Pusaka tinggalan moyangku
Tetap sentosa hidup merdeka, Malaysia oh tanah airku
Ulasan : Lagu ini tidak lain dan tidak bukan ingin menceritakan kehebatan dan keistimewaan sebuah negara bernama Malaysia. Lagu ini mahu mengajak rakyat Malaysia supaya terus mencintai dan menjaga negara ini kerana negara ini sungguh istimewa.
Itulah 5 buah lagu patriotik terbaik sepanjang zaman yang kami pilih. Kami yakin pasti anda mempunyai pilihan anda sendiri terhadap lagu patriotik yang anda suka. Walau apa pun, teruskan menanam rasa cinta kita kepada negara dan teruslah memelihara keamanan negara yang kita kecapi hari ini.
Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com