Kalau berpeluang berlayar ini lokasi wajib dikunjungi

Kalau berpeluang berlayar ini lokasi wajib dikunjungi

Angin bayu pesisir pantai, pemandangan matahari terbit dan pendam serta ikan-ikan bermain dengan kocakan air antara terapi kepada penggemar pelayaran kapal pesiar ini.

Siapa yang tidak mahu bercuti, apatah lagi bercuti di atas kapal pesiar dengan segala kemudahan yang memberi keselesaan. Masih tidak ramai yang meminati ataupun mampu berlayar guna kapal pesiar atas pelbagai faktor, khususnya kos yang mahal dan jangka masanya yang lama.

Jika berbanding kapal terbang mahupun kereta, perjalanan menggunakan kapal pesiar ini dikatakan lebih lama. Namun, itulah yang mahu dihayati mereka yang menaikinya.

Manakan tidak, angin bayu pesisir pantai, pemandangan matahari terbit dan pendam serta ikan-ikan bermain dengan kocakan air antara terapi kepada penggemar pelayaran kapal pesiar ini.

Daripada golongan pelayar, ada yang memilih sekadar menghabiskan masa di atas dek atau bertujuan untuk berlayar sambil melancong.

Kepada mereka yang memilih untuk berlayar sambil melancong lokasi-lokasi terpilih bagi pelayar kapal pesiar, portal pelancongan Oyster menyenaraikan beberapa lokasi wajib dikunjungi.

1. Havana, Cuba

Kepulauan Caribbean adalah salah satu destinasi utama dan kegemaran pelancong yang menggunakan kapal pesiar. Pada tahun 2016 Cuba memasuki senarai destinasi kapal pesiar dan segera ‘mengubah’ peta destinasi dunia sekali gus ‘mengancam’ destinasi pilihan selama ini, Caribbean.
Mengunjungi Havana dengan kapal pesiar seolah-olah menjadi solusi kepada mereka yang tidak mahu menggunakan kemudahan pengangkutan darat yang melalui bandar.

2. Alaska, Amerika Syarikat

Sejak pembukaan laluan kapal pesiar ke rantau ini, banyak warga dunia ingin mengunjungi destinasi ini semata-mata untuk melihat fenomena semulajadi yang luar biasa. Glasier, hidupan liar dan pelabuhannya yang unik menjadikan Alaska destinasi yang ideal untuk pelancong kapal pesiar.
Beberapa pengendali pelancongan kapal pesiar antarabangsa di seluruh dunia bersaing untuk membawa sesiapa sahaja ke Alaska melalui laut.

3. Laluan Trans-Atlantic

Melintasi Lautan Atlantik adalah impian pengembara di seluruh dunia, kini mimpi itu mampu dipenuhi kapal pesiar. Ia juga menjadi faktor utama sesetengah orang memilih laluan ini untuk berehat selama beberapa hari sambil menikmati masa yang berkualiti dengan pelbagai tawaran dari syarikat kapal pesiar.

4. Rantau Mediterranean

Mediterranean adalah kawasan di Eropah sekitar Laut Mediterranean. Kawasan ini termasuk Turki, Greece, Croatia, Itali, Perancis, Monaco, Sepanyol dan lain-lain.
Kawasan ini dikenali sebagai tempat yang paling eksotik di dunia dan penuh dengan pelbagai aktiviti. Ramai pengembara pelayaran memilih ke tempat ini.

5. Hawaii

Dikenali sebagai tempat yang direstui dengan pemandangan alam semulajadi dan budaya yang mewakili semangat kepulauannya. Hawaii mempunyai daya tarikan bagi pelancong dunia yang menginginkan kehidupan pesisir. Menggunakan pelayaran ke Hawaii adalah pilihan pintar untuk meneroka destinasi ini, kerana banyak pulau eksotik di sekitar pulau ini hanya boleh dikunjungi oleh melalui laluan laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.