‘Awang the Clown’ kecewa watak badut disalahtafsir

‘Awang the Clown’ kecewa watak badut disalahtafsir

Mohd Fadli Abu Hasan yang lebih dikenali sebagai Awang The Clown melahirkan rasa kesal dengan penjenamaan badut di barat yang turut menyelitkan elemen seram.

Credit: Gambar fail Horror Film Wiki / Warner Bros Television
Credit: Gambar fail Horror Film Wiki / Warner Bros Television
fmt ohsem inside articleFenomena badut seram yang rancak dibicarakan netizen luar negara dikatakan sudah merebak ke Malaysia. Terdapat beberapa muatnaik komen rakan-rakan di Facebook yang memperkatakan mengenai kemunculan badut yang menakutkan di sini. Namun, masih tidak dapat dipastikan samada ianya hanya aktiviti eksperimen sosial atau ada yang sengaja ingin membuat lawak jenaka.

Terdapat netizen yang mengakui tidak akan gentar untuk menyerang semula, menendang, atau mengejar dengan ‘cangkul’ sekiranya terserempak dengan badut seram ini. Ini kelihatan seperti amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak berkelakuan ‘bodoh’ mengikut fenomena barat untuk menakutkan orang ramai dengan berpakaian dan bersolek seperti badut.

Akhbar dan portal antarabangsa banyak melaporkan tentang serangan badut yang semakin menjadi-jadi. Badut dikatakan muncul di beberapa lokasi yang tidak berkaitan untuk tujuan yang masih belum diketahui.

Fenomena ini dilaporkan berlaku di Australia, Kanada dan Scotland selain sedang popular di Amerika Syarikat.

Adakah mereka berbuat demikian sebagai gimik filem genre badut yang baharu atau sengaja mahu mewujudkan huru-hara? Persoalannya masih belum terjawab.

Walaupun badut sering dikaitkan dengan lawak jenaka, namun dunia perfileman turut memaparkan sisi seram badut. Sebagai contoh, filem It pada tahun 1990, yang diadaptasi dari novel Stephen King menggambarkan badut seram bernama Pennywise. Filem Clown pada tahun 2014 juga merupakan sebuah filem seram. Beberapa rancangan televisyen barat berkonsep memburu hantu juga memaparkan badut sebagai salah satu watak yang menyeramkan dan berhantu.

Namun, di Malaysia, pada amnya kita masih melihat watak badut sebagai seorang yang ceria, mesra dan kelakar.

Credit: Facebook Awang The Clown
Credit: Facebook Awang The Clown

Menurut Mohd Fadli Abu Hasan yang lebih dikenali sebagai Awang The Clown, beliau ternyata kesal dengan penjenamaan badut di barat.

“Badut di Malaysia terutama mereka yang berdaftar dengan Association of Clowns Malaysia mempunyai etika dan peraturan yang perlu diikuti. Ia meliputi penampilan, do’s and dont’s (perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan), barangan yang boleh digunakan dalam persembahan dan sebagainya. Jadi kita tidak sewenang-wenangnya menjadi badut.

“Kalau pegang mancis pun sudah kira salah kerana membawa elemen ganas (api). Kita mahu pastikan badut satu watak yang sangat mesra dengan kanak-kanak,” katanya ketika ditemubual FMT Ohsem baru-baru ini.

Walaupun mungkin tidak dikaitkan dengan elemen seram di sini, sebaliknya ia dikaitkan dengan perkara yang tidak baik, kebodohan dan penghinaan.

“Kenapa di Malaysia, badut dikaitkan dengan sifat negatif sedangkan kedudukan kami adalah untuk menggembirakan orang,” soal Mohd Fadli, merujuk kepada beberapa insiden dan laporan media yang menggunakan nama badut untuk mengutuk ahli politik atau digunakan di dalam kenyataan yang diberikan oleh mereka.

“Di Malaysia, bila cakap ‘clown’ orang boleh terima tetapi bila cakap ‘badut’ ia seperti ada konotasi negatif. Kami sedang dalam usaha menjenamakan semula terma ini kepada penghibur kreatif,” katanya.

Ditanya samada beliau pernah bertemu dengan mereka yang fobia dengan imej badut, Mohd Fadli mengiyakan namun berkata perkara ini tidak kerap berlaku.

“Fobia terhadap badut dikenali Coulrophobia. Perkara ini bukan baharu atau pelik. Namun bukan kerap berlaku, mungkin satu dalam seratus orang. Mereka menangis ketakutan, ada yang lari daripada kami, tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, lelaki atau wanita,” katanya.

“Selain takut, biasanya orang terkejut melihat kami (badut) yang serba lengkap bersolek. Terkejut itu biasa. Itu yang menyebabkan kami memilih untuk hanya bersolek di lokasi majlis,” jelasnya.

Menceritakan tentang pengalaman menjadi badut, Mohd Fadli mengakui ada yang salah sangka terhadap mereka.

“Bila mereka tengok kami, misalnya di stesen petrol atau kedai 24 jam terutama pada waktu malam, mereka fikir kami akan merompak atau mencuri,” jelasnya.

Bagi mengelakkan mana-mana salah faham, Mohd Fadli berkata seeloknya mereka diberikan kad pengenalan khas untuk mengelak sebarang salah faham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.