3 pelajar maut runtuhan sekolah pondok di Jawa Timur

3 pelajar maut runtuhan sekolah pondok di Jawa Timur

Seramai 91 pelajar dipercayai masih terperangkap bawah runtuhan bangunan empat tingkat ketika kerja menuang konkrit di tingkat atas dijalankan.

Pasukan penyelamat giat mencari pelajar terperangkap bawah runtuhan sebuah sekolah pondok di Sidoarjo, Jawa Timur pada Selasa. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan 91 pelajar dipercayai masih terperangkap bawah runtuhan sebuah bangunan pondok pengajian Islam berasrama Al Khozyni di Sidoarjo, Jawa Timur pada Isnin lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) dalam kenyataan memaklumkan angka terbaharu itu berdasarkan data kehadiran pelajar lebih dua kali ganda berbanding laporan awal 38 orang.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata tiga pelajar disahkan maut, manakala 27 masih dirawat di enam hospital dan 70 sudah dibenarkan pulang.

Bangunan empat tingkat itu runtuh pada petang Isnin lalu ketika kerja menuang konkrit di tingkat atas yang menyebabkan pelajar dan pekerja tertimbus di bawah runtuhan konkrit serta besi.

“Pasukan penyelamat menggali secara manual dan enam pelajar dipercayai masih hidup di satu bahagian runtuhan.

“Makanan dan minuman disalurkan melalui celahan runtuhan kepada mereka, manakala jentera berat tidak digunakan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan runtuhan susulan.”

Beliau berkata, punca runtuhan dikaitkan dengan kegagalan teknologi pembinaan.

Penyelaras misi mencari dan menyelamat daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Nanang Sigit, berkata cabaran utama ialah struktur bangunan tidak kukuh serta timbunan konkrit yang menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat.

Suasana penuh emosi menyelubungi kawasan sekolah dan hospital, dengan ramai ahli keluarga menunggu berita pelajar masih hilang atau sedang menerima rawatan.

Ketua sekolah pondok KH Abdus Salam Mujib tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.