
Anwar berkata gesaan itu bukan bermaksud beliau mahu campur tangan, malah menggalakkan pembelajaran kitab tulisan seperti oleh ilmuwan Islam terkemuka Imam al-Ghazali.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ada keperluan menambah elemen tertentu dalam sistem pendidikan pondok supaya lebih bersedia menghadapi realiti negara.
“Bahasa Melayu untuk perkukuh kedudukannya sebagai bahasa ilmu digunakan secara tersusun dan berkesan.
“Mengapa sejarah? Supaya mereka tahu dalam perlembagaan Malaysia ada jaminan tertentu seperti Islam agama persekutuan, hak Melayu dan Bumiputera, kedaulatan raja-raja dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Masjid Jamek Ubang Ulu di Kubang Semang.
Anwar berkata kerajaan juga akan membantu memartabatkan sekolah pondok dengan memasukkan elemen baharu seperti teknologi serta kecerdasan buatan (AI) selain penekanan mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah.
Menurut beliau, penguasaan AI penting bagi memastikan nilai agama tidak diketepikan dalam pembangunan teknologi yang penting untuk kemajuan masa kini.
“Sebab apa, kalau kita tak kuasa AI orang yang sekular serta tak faham agama serta nilai akan menguasainya,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan merangka perancangan bagi mengangkat martabat pendidikan Islam selari dengan perkembangan semasa menerusi kerjasama rentas kementerian.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir.
“Ini untuk rancang supaya dapat angkat martabat sekolah pondok,” katanya.