Banjir Aceh: Penduduk rakam terima kasih kepada Malaysia, Anwar

Banjir Aceh: Penduduk rakam terima kasih kepada Malaysia, Anwar

Sokongan dan bantuan kemanusian dari Malaysia suntik semangat kepada penduduk Desa Pante Lhong selepas alami kemusnahan teruk.

aceh floods
Pada 22 Nov lepas, banjir dan tanah runtuh dahsyat dilaporkan melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, dengan korban dicatat lebih 900 orang. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Penduduk Desa Pante Lhong di Aceh, Indonesia merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan susulan banjir besar di kawasan itu baru-baru ini.

Kepala Desa Pante Lhong Murizal K berkata, sokongan dan bantuan berkenaan memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk bangkit selepas kampung mereka mengalami kemusnahan teruk akibat bencana itu.

“… khusus kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia yang memberikan perhatian kepada kami sehingga kami kembali bersemangat dan bersedia untuk meneruskan aktiviti harian.

“Atas bantuan yang diberikan dalam bentuk ubat-ubatan mahupun makanan yang diperlukan oleh masyarakat Pante Lhong, kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih,” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan kepada Bernama hari ini.

Murizal turut merayu agar bantuan berterusan dapat disalurkan memandangkan proses pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang.

“Kami mohon agar tidak ditinggalkan kerana perjalanan kami untuk pulih daripada keadaan ini masih panjang,” katanya menerusi video berdurasi 1 minit 14 saat itu.

Pada 22 Nov lepas, banjir dan tanah runtuh yang dahsyat dilaporkan melanda tiga wilayah di Sumatera, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, susulan hujan lebat berpanjangan dan Ribut Tropika Senyar.

Agensi Pengurangan Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia melaporkan setakat 10 Dis, jumlah korban akibat bencana itu mencecah 969 orang, manakala 252 lagi masih hilang. Bencana itu turut merosakkan kira-kira 158,000 rumah di 52 wilayah terjejas.

Susulan itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta menghantar bantuan kemanusiaan seperti bekalan makanan dan barangan keperluan asas, selain petugas kesihatan dan ubat-ubatan ke wilayah terjejas.

Pada 11 Dis, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan sumbangan sebanyak RM500 seorang kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di negara ini dan terkesan akibat bencana banjir serta tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.