AS sahkan kes pertama manusia dijangkiti parasit pemakan daging

AS sahkan kes pertama manusia dijangkiti parasit pemakan daging

New World Screwworm ialah lalat parasit yang akan menggali ke dalam tisu perumah hidup menggunakan cangkuk mulut tajam.

cow cattle screwworm
Amerika Tengah dan Mexico terus berdepan wabak parasit pemakan daging dalam ternakan. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes pertama jangkitan parasit pemakan daging pada manusia di negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

New World Screwworm (NWS), sejenis lalat parasit akan menggali masuk ke dalam tisu perumah hidup menggunakan cangkuk mulutnya yang tajam, menyebabkan kerosakan teruk sehingga boleh membawa maut.

Jurucakap HHS memberitahu ABC News pada Isnin, pesakit itu melawat El Salvador baru-baru ini sambil menegaskan risiko kepada orang ramai di AS sangat rendah, manakala Amerika Tengah dan Mexico terus berdepan wabak parasit itu dalam ternakan.

Jabatan Pertanian AS memaklumkan cacing skru tidak ditemui pada haiwan di negara itu, yang sebahagian besarnya dihapuskan beberapa dekad lalu dengan melepaskan lalat jantan dimandulkan untuk menghapuskan populasinya.

“Namun, dengan penularannya di negara berdekatan, lalat NWS bukan saja menjadi ancaman kepada komuniti penternak kita, tetapi juga mengancam bekalan makanan dan keselamatan negara.”

Agensi itu menggariskan langkah baharu menyekat kemasukannya, termasuk menubuhkan pusat pembiakan lalat mandul di Texas, menempatkan unit peronda berkuda memantau pergerakan hidupan liar dan menggunakan anjing pengesan memeriksa barangan import di pintu masuk negara.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, individu melawat kawasan wabak, bersentuhan dengan ternakan, tidur di luar rumah dan mempunyai luka terbuka berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti cacing skru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.