Komponen sayap Delta Air Lines tertanggal sebelum mendarat

Komponen sayap Delta Air Lines tertanggal sebelum mendarat

Delta memaklumkan 'sebahagian kepak di sayap kiri tidak berada pada kedudukan sepatutnya'.

Pesawat Delta Air Lines dengan sebahagian sayap kirinya tertanggal ketika penerbangan sudah dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan. (Gambar Wikimedia Commons)
ISTANBUL:
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) melancarkan siasatan selepas sebahagian komponen sayap sebuah Boeing 737 tertanggal sebelum mendarat di Texas, lapor Anadolu Ajansi.

Penerbangan 1893 Delta Air Lines dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando ke Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom pada Selasa, apabila penumpang menyedari sebahagian sayap sisi belakang rosak.

“Kami ingatkan ia hanya gelora di udara yang teruk. Pesawat bergegar dengan kuat.

“Seorang wanita di depan membuka penutup tingkap dan memberitahu kami ia rosak.

“Saya juga membukanya dan terus rasa takut,” kata penumpang Shanila Arif kepada CNN.

Delta dalam kenyataan memaklumkan “sebahagian kepak di sayap kiri tidak berada pada kedudukan sepatutnya”.

Pesawat itu dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan.

Penerbangan itu membawa 62 penumpang dan enam kru ketika kejadian. Tiada kecederaan dilaporkan.

Delta turut memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan FAA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.