43 maut banjir kilat di Texas

43 maut banjir kilat di Texas

Seramai 15 kanak-kanak antara 43 yang terkorban dalam banjir di Kerr County, Texas, AS.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa hilang diteruskan di sepanjang Sungai Guadalupe pada Sabtu selepas banjir kilat melanda Texas. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya 43 maut, termasuk 15 kanak-kanak dalam banjir di Kerr County, Texas, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan pegawai pada Sabtu.

Syerif Larry Leitha berkata, 15 daripada mangsa adalah kanak-kanak, manakala lima kanak-kanak dan 12 dewasa belum dikenal pasti.

Pengurus Bandar Kerrville, Dalton Rice, memaklumkan usaha mencari dan menyelamat menjadi keutamaan di tengah Texas, dengan pasukan penyelamat sedang mencari mangsa hilang di sepanjang Sungai Guadalupe, menurut CNN.

“Kami benar-benar memberi tumpuan kepada keselamatan nyawa.

“Keutamaan kami ialah usaha mencari dan menyelamat setiap individu terlibat dan kami akan meneruskan operasi sepanjang malam untuk memastikan ia dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, 27 kanak-kanak dari Kem Mystic masih hilang ketika operasi menyelamat diteruskan susulan limpahan air deras Sungai Guadalupe yang melanda tapak perkhemahan pada Jumaat.

“Kami telah menyelamatkan ratusan orang dari kem ini sepanjang hari,” kata Rice.

Banjir yang meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa itu bermula lewat Khamis lalu dan berterusan hingga awal pagi Jumaat, apabila hujan lebat menyebabkan Sungai Guadalupe melimpah dan mencapai paras lebih 11.8m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.