Google diarah bayar USD314 juta dalam saman kelompok data telefon pintar

Google diarah bayar USD314 juta dalam saman kelompok data telefon pintar

Pihak plaintif mendakwa Google menggunakan data dikumpul daripada telefon tidak aktif untuk tujuan seperti iklan tersasar, yang turut guna data mudah alih pengguna atas kos mereka sendiri.

google
Juri mendapati Google bertanggungjawab menghantar dan menerima data daripada peranti Android walaupun ketika ia tidak digunakan tanpa kebenaran pengguna. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Juri di California mengarahkan Google membayar lebih USD314 juta (RM1.48 bilion) kepada pengguna telefon pintar Android di negeri itu berhubung dakwaan syarikat itu menyalahgunakan data telefon mudah alih tanpa kebenaran pengguna.

Reuters melaporkan juri mendapati Google bertanggungjawab menghantar dan menerima data daripada peranti Android walaupun ketika ia tidak digunakan tanpa kebenaran pengguna – sesuatu digambarkan dalam tuntutan saman itu sebagai “beban wajib dan tidak dapat dielakkan” yang dikenakan untuk kepentingan syarikat.

Keputusan itu dibuat dalam satu saman kelompok difailkan pada 2019 bagi mewakili kira-kira 14 juta pengguna Android di California.

Pihak plaintif mendakwa Google menggunakan data dikumpul daripada telefon tidak aktif untuk tujuan seperti iklan tersasar, yang turut menggunakan data mudah alih pengguna atas kos mereka sendiri.

Jurucakap Google, Jose Castaneda, berkata syarikat itu akan merayu keputusan itu yang disifatkannya “salah faham terhadap perkhidmatan penting untuk keselamatan, prestasi dan kebolehpercayaan peranti Android”.

Peguam plaintif, Glen Summers, berkata keputusan itu “membuktikan secara jelas kesahihan tuntutan ini dan mencerminkan betapa seriusnya salah laku Google”.

Google berhujah di mahkamah yang pengguna memberikan kebenaran melalui terma perkhidmatan dan dasar privasi serta tiada kerosakan sebenar berlaku.

Reuters turut melaporkan satu lagi saman persekutuan berasingan dengan tuntutan serupa bagi pengguna Android di 49 negeri AS lain dijadualkan untuk perbicaraan pada April 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.