Manfaat cuaca panas di Perancis, guru goreng telur di halaman sekolah

Manfaat cuaca panas di Perancis, guru goreng telur di halaman sekolah

Guru itu meletakkan kuali atas tanah, menunggu setengah jam sebelum memecahkan sebiji telur yang masak dalam masa singkat.

sunny side egg telur mata kerbau
Demonstrasi menggoreng telur itu bertujuan menarik perhatian terhadap keadaan fizikal sekolah menengah di Quissac yang kurang bersedia menghadapi gelombang haba.  (Gambar Pixabay)
PARIS:
Seorang guru di selatan Perancis memanfaatkan cuaca panas melampau melanda negara itu dengan menggoreng telur menggunakan kuali atas lantai halaman sekolah, lapor agensi berita Jerman dpa.

Menurut stesen radio tempatan France Bleu pada Rabu, guru itu meletakkan kuali atas tanah, menunggu setengah jam sebelum memecahkan sebiji telur yang masak dalam masa singkat.

Dalam satu rakaman video, guru itu dilihat merekodkan suhu pada pemegang kuali selepas eksperimen dijalankan, yang mencecah sekitar 80 darjah Celsius.

Demonstrasi itu bagi menarik perhatian terhadap keadaan fizikal sekolah menengah di Quissac yang kurang bersedia menghadapi gelombang haba.

Berdasarkan kiraannya, hanya 60 hingga 80cm persegi kawasan teduh bagi setiap pelajar di halaman sekolah.

Tiada sesi pembelajaran pada Selasa kerana cuaca terlalu panas, namun sebahagian murid tetap berada di sekolah kerana ibu bapa tidak dapat menjaga mereka di rumah.

Di seluruh Perancis, sekitar 2,200 sekolah ditutup pada hari sama akibat suhu lebih 41 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Kira-kira 100 sekolah kekal ditutup pada Rabu.

Sebahagian besar bangunan sekolah di negara itu tidak direka untuk menampung suhu tinggi, memandangkan lebih separuh daripadanya dibina sebelum 1979, menurut saluran penyiaran Public Sénat.

Kerajaan Perancis merancang mengubah suai 40,000 sekolah dan menjadikannya lebih cekap tenaga menjelang 2034.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.