5 maut helikopter tentera Uganda terhempas di Somalia

5 maut helikopter tentera Uganda terhempas di Somalia

Enam lagi cedera dalam nahas yang turut menyaksikan bahan letupan dibawa helikopter itu meletup dan menyebabkan kerosakan pada struktur berdekatan.

Serpihan helikopter Mi-24 milik tentera Uganda selepas terhempas kira-kira 200m ke timur North Ramp di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde, Mogadishu pada Rabu. (Gambar AP)
MOGADISHU:
Lima maut, manakala enam lagi cedera selepas sebuah helikopter tentera Uganda terhempas di ibu negara Somalia, Mogadishu, pada Rabu, menurut kenyataan tentera Uganda dipetik Xinhua.

Helikopter itu membawa lapan anggota, termasuk enam anak kapal.

Juruterbang, pembantu juruterbang dan jurutera penerbangan terselamat, tetapi mengalami kecederaan serius serta melecur teruk. Penumpang lain terbunuh, manakala tiga orang awam di kawasan kejadian turut cedera.

Helikopter Mi-24 itu terhempas kira-kira 200m ke timur North Ramp di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde, Mogadishu, mengakibatkan bahan letupan yang dibawanya meletup serta menyebabkan kerosakan pada struktur berdekatan.

Semua mangsa cedera, termasuk anak kapal dan orang awam, dipindahkan ke hospital Misi Peralihan Kesatuan Afrika di Somalia (ATMIS) berdekatan untuk menerima rawatan.

Pasukan tindak balas kecemasan bersama yang terdiri daripada anggota bomba lapangan terbang Mogadishu dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bersama pasukan pemusnah bahan letupan ATMIS, dikerahkan ke lokasi untuk membantu operasi menyelamat.

Jurucakap tentera Uganda, Felix Kulayigye, berkata satu pasukan akan dihantar ke Mogadishu dalam masa terdekat bagi menyiasat punca nahas. Helikopter itu dalam perjalanan pulang daripada misi pengiring rutin ketika nahas berlaku.

Tentera Uganda menolak kemungkinan helikopter itu diserang dari luar, dengan Kulayigye menjelaskan Mogadishu sebahagian besarnya telah dibersihkan daripada kumpulan militan al-Shabab, justeru tidak mungkin helikopter Mi-24 itu ditembak jatuh.

“Sebagai helikopter serangan, ia membawa roket, jadi roket itulah yang menyebabkan kebakaran. Jika ia akibat tindakan dari luar, kami tidak perlu bercakap mengenai siasatan kerana kami sudah tahu puncanya.”

Misi Sokongan dan Penstabilan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) mengesahkan kejadian itu dan berkata helikopter dikendalikan Kontinjen Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda itu terhempas sekitar 7.30 pagi waktu tempatan (0430 GMT) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Baledogle, kira-kira 90km di barat laut ibu negara Somalia.

“Tiga daripada lapan penumpang helikopter itu berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Tahap II AUSSOM di Mogadishu untuk rawatan,” menurut kenyataan AUSSOM yang dikeluarkan di Mogadishu.

Pengarah Jeneral Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Somalia, Ahmed Macallin Hassan, berkata operasi penerbangan di lapangan terbang berjalan seperti biasa, walaupun sebahagian landasan ditutup sementara akibat serpihan nahas.

September lalu, tentera Uganda kehilangan sebuah helikopter pengangkut semasa penerbangan dari Mogadishu ke Lapangan Terbang Baledogle. Semua empat anggota pengaman di dalamnya terselamat dalam nahas itu, menurut tentera.

Uganda antara negara penyumbang utama anggota tentera misi pengaman Kesatuan Afrika di rantau Tanduk Afrika sejak 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.